Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Sawah yang menghijau dinegeri jelapang padi ini dengan angin semilir menampar nampar lembut wajah ,aroma wangian pagi bulan safar sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini.
Muktamar ini kali kelima dalam rekodnya ,Kedah menjadi tuan rumah, bukan lagi di bangunan madrasah namun di Kompleks PAS Kedah yang tersergam indah, manakala Dewan Pemuda di dalam hotel yang serba lengkap . Dunia semakin pantas melaju, perkembangan gaya hidup paralel dengan membesarnya kelompok kelas menengah Melayu dalam gerakan Islam tertua di Malaysia ini.Dalam kumpulan wassap alumni Dewan Pemuda ajakan untuk berhimpun di kedah seakan menggoda dan memancing mantan penggerak DPPP untuk memintal ukhuwwah, begitu juga alumni kampus. Berakhirnya pandemik meruak ruang yang besar untuk mengembalikan semula kemeriahan program-program jamaah yang agak beku dalam tempoh dua tahun. Sadisnya, tak kecil bilangan teman- teman aktivis jemaah kembali ke negeri abadi dengan pelbagai asbab dan paling besar akibat wabak kovid yang mendunia.
Siapa yang tidak merindui negeri Kedah adalah bohong!. Keenakan masakan gulai ghias pisang seperti nasi ganja yang menyebabkan ketagihan jangka panjang. Kawan-kawan di Kedah gemar mengikat ukhuwwah , tak dibenarkan kita berpamitan jika perut tak diisi penuh. Negeri ini dengan pelbagai peristiwa penting PAS, tangkapan ISA Operasi Padi 1980, Memali, tragedi Lubuk Merbau, tragedi Muasasah Darul Ulum dan peristiwa pemakaman almarhum Dato Fadhil Noor .
Pagi 4 Safar ini, dengan langkah dan derapan bergaya pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia mengiringi langkah Timbalan Presiden PAS Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk merasmikan Muktamar DPPM Kali ke 63 dan para muktamirin dengan bilangan yang normal kembali di Hotel Raia Alor Setar. Perwakilan dan pemerhati kelihatan teruja mengikuti ucapan tema dan ucapan perasmian daripada Menteri Kabinet kerajaan ini. Dato Tuan Ibrahim mengingatkan semua para amilin untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT, merapikan persiapan untuk berdepan dengan PRU 15, penegasan akan rakan pemuafakatan strategik bagi merengkuh kejayaan dalam pilihanraya yang akan datang.
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ( kini DPPM) jika menurut norma yang biasa turut dihadiri tetamu- tetamu jemputan daripada dalam dan luar negara, contohnya wakil HAMAS, Ikhwanul Muslimin, Partai Keadilan Sejahtera, pernah ada wakil daripada Afghanistan dan Turki serta pelbagai gerakan Islam yang lain. Rakan rakan parti bersama dalam pemuafakatan politik serta pelbagai NGO. PAS sebagai sebuah harakatul ummah yang sentiasa berjiwa besar dan mendepangkan tangan kepada apa sahaja usaha memartabatkan Islam di tanah leluhur ini.
Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi, seorang guru agama yang dikenali di sebelah utara Semenanjung. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi , Ustqz Baharuddin Latif dan lain-lain nama besar dalam perjuangan. Tidak pelik jika Muktamar Pemuda PAS Pusat diadakan di sekolah agama rakyat sebagai simbolik pasak kekuatan " parti lebai" ini. Penulis di era Salahuddin Ayub pernah DPPP mengadakan Muktamar di Madrasah Alfaizin Guar Chempedak, bahkan kekuatan PAS Kedah sampai sekarang masih bertunjang di pondok dan madrasah.
Sejujurnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah entiti parti yang paling dinamik, memicu pesona serta menelurkan pelbagai idea penting kepada badan induk jamaah ini. Sebagai sayap penting , jauh daripada sikap mengampu dan merasa selesa dengan kondisi yang ada. Dewan Pemuda PAS adalah kilang tajnid serta melahirkan generasi pimpinan PAS disepanjang zaman .
Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr Burhanudin menjadi tonggak utama PAS . Tokoh besar yang berdoktorat daripada Universiti Aligagh India ini bukan kepalang jasanya kepada perjuangan ummah, pernah mendekam dalam penjara British pada pada tahun 1935, 1937 dan pada tahun 1950. Malah dizaman pemerintahan PERIKATAN, almarhum ditahan dibawah ISA.
Dewan Pemuda dalam dekad 1970an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik , dimana terlantiknya Ketua Dewan pemuda PAS Pusat saat itu, Dato Mustapha Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah dikalangan anak-anak muda. Aktivis pemuda membantu program pendakwahan skala besar dalam era kebangkitan semula Islam.
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS sehingga kini . Pemuda PAS telah melangkah gagah dipelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS . Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI dan SMITI, menjadikan PAS sebagai satu-satunya gerakan Islam didunia ini yang mempunyai kitaran lengkap tarbiah nizomi, daripada prasekolah sehinggalah kolej Universiti.
Gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal pada tahun 1991 , yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat mesra rakyat pada kacamata masyarakat awam. Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik. NGO , jaringan sivil yang dibidani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat terus menyebar kebaikan dan kepedulian ummat dipelbagai peta luka umat Islam.
Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam. Pemuda PAS juga menerokai ruang intelektual dengan mengadakan wacana ,dialog, seminar untuk menguasai pasaran kelas menengah masyarakat pengundi.
Dewan Pemuda PAS yang menghampiri tujuh dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh,dibuang daerah serta dikucilkan oleh jentera regim penguasa . Lihatlah era Abdul Samad Gul Mianji, Ustaz Jais Anwar, Ustaz Hasan Shukri, Cikgu Mustapha Ali, Ustaz ABC, Dewan Pemuda mendobrak kezaliman regim dan mencetus idea-idea baru dalam jamaah Islam ini.Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak selesa , dingin intelek serta suram keberanian.
Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali ke 63 ini sebagaimana lontaran harapan dan misi Ketua Pemuda , Ustaz Fadli Shaari , para pemuda PAS , pemuda generasi sejahtera yang mempunyai pakej lengkap kompetensi, mempunyai tampang pemuda haraki dan Sufi, memadukan antara kemapanan ilmu dan keberanian dilapangan Amal.Memiliki ilmu yang luas , membina jaringan sosial yang baik demi mengarusperdanakan perjuangan.
Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah. Terjemahkan dilapangan Amal Ucapan Tema Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, moga Allah merahmati kalian wahai anak muda. Aku merindui anak- anak muda demonstran , bukannya anak - anak muda yang bermuka licin seperti seperti artis K-pop atau pemuda berkain batik!.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Mantan Ketua Penerangan DPP Malaysia,Ketua DPP Wilayah Persekutuan)
Ulasan