Pemuda Sifatkan Tawaran 30 Peratus Calon Pilihan Raya Sebagai Cabaran


ALOR SETAR - Pemuda PAS Malaysia menyifatkan kesediaan parti menawarkan 30 peratus calon anak muda dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) sebagai satu cabaran untuk memenuhi kelayakan sebagai calon membawa aspirasi parti. 

Serentak itu Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari  menyatakan kesediaan parti tersebut sebagai satu tanda bahawa parti menghargai sumbangan dan sokongan anak muda.

"Walaupun demikian secara peribadi saya melihat ia bukanlah satu penghargaan semata-mata tetapi cabaran kepada orang muda ataupun golongan muda untuk memenuhi kelayakan sebagai calon membawa aspirasi parti dalam pilihan raya akan datang," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam Sidang Media sejurus selesai Majlis Perasmian Muktamar Pemuda Malaysia Ke 63 di sebuah hotel di sini hari ini.

Timbalan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut serta dalam sidang media tersebut, sebelumnya ketika merasmikan Muktamar tersebut berkata, PAS akan memastikan 30 peratus daripada calon yang akan bertanding adalah dari kalangan Pemuda. 


Oleh itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sembilan tawaran Pemuda PAS Malaysia kepada anak muda akan dibahaskan dalam muktamar tersebut sepanjang dua hari berlangsung sampai esok.

"Tawaran itu sebagaimana disebut dalam ucaputama beliau termasuk melibatkan persoalan kos sara hidup, barangan asas, rasuah dan Kebolehpasaran," tambah beliau. 

Katanya, tawaran itu termasuk pemilikan rumah melalaui kaedah sewa beli, insentif pengecualian dan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), program biasiswa siswazah, penyewaan tanah milik kerajaan kepada anak muda bagi tujuan pertanian, data internet percuma 5GB sehari untuk B40 dan M40.

"Cadangan pelaksanaan makanan percuma kepada pelajar B40 dan M40 di institusi pengajian awam melalui kaedah E-Dompet, peralihan subsidi dengan mengkreditkan RM100 sebulan dalam bentuk E-Dompet, 

"kepada anak muda dari keluarga B40 dan M40 untuk membeli barang keperluan harian, bantuan bayaran kenderaan anak ke sekolah dan makanan percuma untuk pelajar sekolah kategori B40." ujarnya. 

Ulasan