20 September 2022

Penyatuan Ummah Elak Pertandingan Tiga Penjuru

 


PAS yakin Agenda Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional di antara orang MelayuIslam, kaum Bumiputra dan rakyat pelbagai kaum di negara ini hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU15.

Justeru itu PAS terus berusaha dengan pelbagai pendekatan antaranya menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan Kerajaan Persekutuan sekarang dapat terus bekerjasama menghadapi PRU15 nanti seterusnya membentuk sebuah Kerajaan baru yang lebih mantap dan berotoriti.

Justeru itu PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai Rakan Ta’awun sekaligus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh dalam PRU15 nanti. PAS sebaliknya tetap menegaskan bahawa musuh sebenar Penyatuan Ummah adalah Pakatan Harapan dan sekutu-sekutunya termasuk ‘Khemah Besar’.

PAS seterusnya yakin gabungan atas konsep Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional sahajalah mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima oleh majoriti pengundi ke arah mewujudkan sebuah Kerajaan Prihatin Rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat di samping pada masa yang sama memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang (check and balance).

PAS amat optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik di antara parti-parti utama Melayu-Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih dari Dua Penjuru dalam PRU15 nanti. Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya, tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU14.

"MALAYSIA SEJAHTERA”

Takiyuddin Hassan

Setiausaha Agung PAS

Bertarikh: 20 September 2022

Tiada ulasan:

Akur Arahan, PAS Terengganu Teruskan MN

KUALA TERENGGANU - PAS Terengganu akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat diperingkat pusat buat masa ini dan masih berbaik dengan Um...