ALOR SETAR - Mengemukakan calon yang tidak hanya boleh menang, diterima malah berupaya untuk mentadbir menjadikan PAS cukup bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada kali ini.
Perwakilan Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, perkara berkenaan perlu diberikan penekanan di semua peringkat untuk menampilkan calon seumpama itu untuk mengisi kemenangan.
Jelasnya ia cukup sukar hendak hendak ditentukan namun yakin berpandukan hidayah Allah, maka PAS pastinya akan dapat mengemukakan calon yang memenuhi syarat terbabit.
"Sekarang ini giliran anak muda, maka calon dari kalangan tersebut perlu dilihat layak atau tidak untuk berada di tempat yang akan ditandingi.
"Dalam konteks demokrasi, nilai seorang guru pondok sama dengan penagih dadah (untuk memilih) oleh kerana itu ambil keputusan yang terbaik demi kelangsungan jemaah biar calon yang dipilih untuk nanti tepat, diterima, boleh menang dan mentadbir," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi membahaskan Ucapan Dasar Presiden, di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68, Kompleks PAS Kedah, hari ini.
Katanya, ucapan dasar Presiden itu sangat jelas sebagai persediaan jentera untuk menguatkan organisasi.
Justeru katanya PAS Terengganu menyokong penuh ucapan dasar berkenaan.
Sebagai persiapan untuk menang pilihan raya katanya antara perkara perlu dilakukan ialah memperhebatkan pasukan kempen mendekati golongan sasar.
"Perlu cekap meneliti dan mencari pengundi, setiap program mesti ada data dan perlu kenal pasti setiap orang yang datang ke program untuk didekati," ujarnya.
Ulasan