Teguh Pertahan, Terengganu Model Pentadbiran BPMS


Oleh : Tuan Nuramirul

KUALA NERUS - Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Parti Islam Se-Malaysia (Pas) perlu dikekalkan dalam usaha menjadi model Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS). 

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu menjadi antara negeri yang mengamalkan budaya berpolitik tanpa bersikap prejudis terhadap parti pembangkang. 

“Pas mesti wujud untuk menjadi parti yang kuat bagi kita mengangkat budaya politik yang sebenar atau yang kita (Pas) jenamakan sebagai Budaya Politik Matang dan Sejahtera. 

“BPMS ini dirangka bagi Pas bertindak penuh prinsip, politik yang mengutamakan perpaduan daripada perpecahan, mengutamakan penyatuan daripada perbalahan, meramaikan kawan bukan meramaikan lawan serta politik berkebajikan bukan politik balas dendam,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan Bicara 3 Menteri Besar bersempena Pra Himpunan Teguh Pertahan 100K di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus di sini hari ini. 

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang turut menjelaskan bahawa era kepimpinan beliau sejak 2018 tidak sesekali menindas parti lawan. 

Terengganu mengorak model pentadbiran contoh apabila menjadi negeri yang menyalur peruntukkan RM250,000 bagi setiap ADUN bukan kerajaan setahun bagi gerak kerja kebajikan rakyat mereka. 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob turut memberikan ucapan sebelum Pelancaran Jentera Pilihanraya ke-15 Pas Peringkat Negeri Terengganu.

Ulasan