KUALA TERENGGANU – Semua pihak dalam kalangan masyarakat tidak mengira jantina dan latar belakang perlu bekerjasama dalam memastikan peranan mereka kepada negara adalah tidak sia-sia.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Datuk Haji Amzad Hashim berkata, mereka senantiasa diperlukan pada setiap masa dan tempat.
“Wanita pada hari ini mempunyai amanah yang besar dan perlu digalas seperti kaum lelaki,” jelasnya.
Beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian ketika merasmikan program Jalinan Kasih Beliawanis di Pusat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam, pada semalam, 22 Oktober.
Menurutnya, penganjuran program sebegini sangat baik untuk menyantuni kaum wanita terutama pengundi muda.
“Sebelum kedatangan Islam, kedudukan kaum wanita dipandang rendah dan dianggap tiada hak untuk bersuara, malah dipandang hina serta tidak diberikan penghormatan sebagai manusia.
“Namun begitu, kedatangan Islam telah membawa sinar kepada golongan wanita dengan mengangkat kedudukan dan martabat mereka di sisi Allah SWT menjadi manusia yang mempunyai hak dan tanggungjawab,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ameerah DUN Wakaf Mempelam Farhah Busyra binti Mohd berkata, program ini bertujuan mendekati wanita muda di DUN Wakaf Mempelam.
“Ingin bersua untuk mengenal lebih erat dengan wanita muda dan menzahirkan tanda ingatan serta penghargaan terhadap wanita muda di DUN ini,” katanya.
Menurutnya, seramai 50 orang wanita muda yang lahir pada bulan Julai hingga Oktober diraikan dalam majlis tersebut.
Beliau menambah, program ini ini diadakan secara berkala dan anjuran Ameerah DUN Wakaf Mempelam.
“Semoga jalinan kasih yang dibina ini dapat mengeratkan lagi ukhuwwah di antara satu sama lain,” tambahnya lagi.
Ulasan