Bersatu Bebas Guna Bendera Sendiri Atau PN


KUALA TERENGGANU – Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberi pilihan sama ada mahu menggunakan bendera partinya atau Perikatan Nasional (PN) sekiranya bertanding kerusi parlimen di negeri ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, PAS terbuka terhadap keputusan Bersatu dalam penggunaan bendera di negeri ini.

“Sebagaimana keputusan yang telah dibuat oleh PAS Pusat, kita kekal menggunakan bendera PAS di tiga negeri pemerintahan iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Setakat ini tiada maslah yang dibangkitkan (penggunaan bendera) dan kita serahkan kepada Bersatu akan datang mengikut keselesaan,” katanya dalam Sidang Media Khas di sini hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat turut menyatakan, 'status quo' kerusi Hulu Terengganu merupakan milik Bersatu setelah penyandangnya, keluar meninggalkan Umno. 

Oleh itu, beliau tidak menolak andaian bahawa kerusi tersebut bakal dikekalkan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, PN Terengganu telah selesai menghantar senarai calon yang bakal diketengahkan pada Pilihanraya Umum ke-15. 

"ia terpulang kepada pucuk pimpinan pusat untuk memutuskannya," jelas beliau. 

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari penamaan calon adalah pada 5 November manakala proses pengundian undi akan dilaksanakan pada 19 November.

Ulasan