Bubar Parlimen Tidak Sepatutnya Demi Kepentingan Individu




KUALA TERENGGANU - Pembubaran Parlimen dalam keadaan tergesa-gesa bagi tujuan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak sepatutnya dibuat hanya untuk kepentigan individu tertentu khasnya ketika musim banjir yang bakal memberi kesan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, individu tertentu yang terdesak untuk mengadakan pilihan raya pada musim ini adalah mereka yang tidak mengalami dan merasai sendiri kesusahan banjir.

Hanafiah menceritakan pengalaman sendiri ketika berlaku banjir besar di Kemaman pada tahun 2013 yang mana rumahnya dinaiki air banjir sehingga melebihi empat kaki.

“Detik paling sedih ketika itu, harta benda dalam rumah yang tidak dapat diselamatkan dan melihat orang lain juga sangat terkesan serta derita akibat banjir.

“Sepatutnya kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) ketika ini memberi fokus yang penuh untuk menjaga kebajikan rakyat dalam menghadapi banjir dan tidak untuk pilihanraya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Bicara 30 Minit Bersama YB Haji Hanafiah Mat di Laman Facebook PAS Kemaman hari ini.

Tambah Hanafiah, pemimpin perlu memikirkan kepentingan dan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.

"Kita boleh tunggu sedikit masa lagi kerana penggal Parlimen tamat sehingga bulan enam," tegasnya lagi.

Bagi menghukum mereka yang berkepentingan sendiri ini, Hanafiah menyeru kepada rakyat di seluruh negara untuk menghukum mereka yang sengaja ingin menyusahkan rakyat ini.

Beliau juga memohon rakyat memilih PAS dan pengundi harus tegas menunjukkan wibawa serta hak sebagai seorang pengundi.

“Pilihlah pemimpin yang betul-betul membawa kesenangan serta menjaga kebajikan rakyat dan adil dalam pemerintahan,” katanya.

Ulasan