Contohi Terengganu Dalam Perundangan Syariah


KUALA TERENGGANU – Kejayaan kerajaan PAS Terengganu dalam melakukan penambahbaikan dan pemerkasaan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah perlu dicontohi.

Pakar Perlembangaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, mengesyorkan supaya usaha penambahbaikan berkaitan perundangan dan keseragaman antara mahkamah syariah di setiap negeri dapat dilaksanakan.

“Jawatankuasa-jawatakuasa lain terutama di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkaitan undang-undang Islam dan kefatwaan institusi fatwa serta pendidikan perlu terus berjalan dan sentiasa bertambah baik,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada sidang akhbar selepas menghadiri Forum Enakmen-Enakmen Syariah Terengganu 2001 : Cadangan Penambahbaikan dan Pemerkasaan Enakmen, di sini, pada Isnin.


Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan kebimbangan seandainya kerajaan baharu yang dibentuk selepas PRU Ke-15 tidak dapat meneruskan agenda memperkasakan perundagan syariah di negeri ini.

“Dalam pelaksanaan undang-undang syariah ini, kita harap perkara yang telah dilakukan misalnya kewujudan dan jawatankuasa-jawatankuasa untuk penambahbaikan undang-undang dan penguatkuasaan syariah ini tidak diubah atau dihentikan.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini apabila berlaku perubahan kerajaan, kadang-kadang polisi dan tidakan juga berubah.

“Kita harap kerajaan baharu nanti tidak hentikan perkara-perkara baik untuk perundangan syariah ini kerana pernah terjadi perubahan kerajaan, keadaan sudah tidak sama atau ‘slow’ sedikit atau sesetengah jawatankuasa itu dimansuhkan begitu sahaja,”ujarnya.

Ulasan