Ijtimak Tarbawi 2022; PAS Terhutang Budi Kepada Anak - anak Muda


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Hujan mencurah curah setiap kali waktu senja menjelang, sesekali ribut menengking warga Besut, minggu ini dalam persiapan Ijtimak Tarbawi dada kami bergelombang menahan debar. Pemuda PAS Besut memasang bendera dan pelbagai pemidang mengalukan kehadiran delegasi luar.

Cuaca seakan musim kemuncak tengkujuh, hanya doa dipohon agar majlis berjalan lancar. Peniaga-peniaga yang datang lebih awal daripada peserta bertungkus lumus menyiapkan barang dagangan. Haji Hakim , sang jurutera yang memimpin anak muda di daerah ini bertungkus lumus menyiapkan pentas dan keperluan yang lain.

Ijtimak juga dipenghujungnya akan berlangsung pelancaran jentera PRU 15 oleh pimpinan  , majlis yang pastinya bergegar dengan wejangan  penuh semangat, berselang dengan laungan takbir dan slogan -slogan yang membakar semangat anak muda yang datang daripada seluruh pelusok negara. Sangat luarbiasa anak-anak muda celupan tarbiah PAS ini berhimpun dengan segalanya datang daripada kocek mereka sendiri. Mereka berdesakan di kawasan ijtimak, menadah telinga mendengar pengisian daripada tokoh-tokoh tarbiah dalam PAS terutama kalam Tuan Guru Presiden PAS.

 Sebelum ini saat virus corona yang menakutkan orang ramai untuk berhimpun, saat pembantaian kepada muslim dimana-mana peta luka umat Islam di Gaza, Kashmir, Syria dan lain lain. Tak mudah untuk menguruskan berskala besar, dengan ujian cuaca dan kekangan pelbagai program yang bertindan tindih,  maka himpunan ini sangat berjaya. Berbondong-bondong anak muda mudik daripada tanah Selatan, Pantai Timur , Pantai Barat serta daripada Borneo. Ada yang berkonvoi motosikal, ada yang menyewa bas serta berkereta , rumah nginap laku keras dan ianya turut memberi kesan hiliran kepada para peniaga makanan di daerah Besut. 

Ijtimak yang telah tiga tahun berehat ini  sangat membekas dengan seribu kenangan, anak muda Istiqomah kali ini juga menyaksikan entiti -entiti dibawah Dewan Pemuda PAS turut memeriahkan sambutan, Jabatan Amal mengucur keringat siang dan malam, ARC dengan ribuan motor berkonvoi daripada seluruh negara, guru-guru PASTI,SRITI,SMITI tidak ketinggalan memeriahkan himpunan tarbawi ini. Diakui masyarakat dan negara bahawa entiti PAS turut berjasa membangunkan negara, bukan berorientasikan untung namun demi ummah.

PAS dalam sejarahnya sangat terhutang budi kepada anak-anak muda yang bergabung dalam Dewan Pemuda PAS. Dewan Pemuda ditubuhkan  pada tahun 1953, dengan Ketua Pemudanya yang pertama ialah Ustaz Ahmad Badawi. Pimpinan pemuda PAS yang dipimpin oleh Ustaz Hasan Adli juga mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh tokoh tersohor perjuangan membela ummah iaitu Dr Burhanuddin al Helmi. Ramai kalangan asatizah dan santri menyertai pemuda PAS sehinggalah PAS juga digelar parti pak lebai.


 Pagi pertama Ijtimak Tarbawi cahaya mentari pagi seperti mengulangi tabiat himpunan Dewan Pemuda yang lain, euforia kegembiraan menebar aura positif. Pimpinan pemuda sejauh Borneo tersenyum . Sarapan pagi nasi dagang dan nasi minyak bersulam canda tawa , masakan khas Kak Ani Rambai, tukang masak tersohor daerah ini. Besut daerah agrarian yang mempunyai sub budaya Kelantan ,namun politiknya paling tersudut . Dekad 50an daerah ini meriah dengan pondok-pondok pengajian Islam, Presiden PAS Dr Burhanudin al Helmi menjadi Ahli Parlimennya dalam pilihanraya 1959. Daerah ini makin tersudut pengaruh politik Islam apabila pondok-pondok dan madrasah menjadi SABK, UMNO dengan perlahan mengakar kukuh . Tak mudah membangunkan kembali pemikiran politik Islam dengan suramnya pengajian Islam dalam dekad 1970an dan 80an, bahkan radikalisme mula menyelit dalam benak abnaul harakah.

Besut diperlecehkan kawan-kawan luar Besut kerana daerah ini menjadi kubu Umno di Terengganu, seorang pemimpin pertengahan pernah meluahkan , " jika Besut tak berada dalam Terengganu,nescaya telah lama PAS memerintah Terengganu". Gurauan dan perlecehan itu sangat mengguris perasaan. Karektor masyarakat Besut sebahagiannya sangat obses dengan hiburan ,sebab itulah acara berdikir Barat akan menjadi tarikan pesona besar, termasuk acara bergocoh ( Muay Thai) yang boleh dengan mudah menghimpunkan ribuan khalayak walaupun berbayar !.

Nakhoda utama PAS memahami kekangan dan obsesi orang Besut maka dipilih anak Besut memimpin negeri ini dengan dikosongkan kerusi DUN paling selamat. Manakala Pesuruhjaya Negeri juga adalah anak Besut untuk mendobrak kubu pesaing PAS. Presiden PAS sentiasa menyebut akan keperluan mengarusperdanakan jihad ta'lim di daerah tani ini, daerah pongah dengan seribu tirai gelap. Daerah yang merangkul Johan dalam penagihan najis dadah dalam negeri Terengganu yang  seterusnya membawa masalah hiliran yang lain seperti jenayah, kesalahan syariah dan lain- lain .

Usaha membawa acara Ijtimak Tarbawi 8.0 oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia ke daerah agrarian ini adalah keberanian dan kegeniusan pimpinan pemuda Pusat yang sentiasa memacu perubahan dalam sejarah PAS. Jika ijtimak berlangsung di Rusila ,maka tiada gedebe dan bijaknya Pemuda PAS kerana di Marang sahaja, 35 ribu pendokong PAS dengan seribu pelajar MDQ Rusila akan memadati tapak Ijtimak, bahkan Ijtimak 'alami selama ini dengan mudah menghimpunkan lebih seratus ribu para amilin. Memilih kompleks an Nur Besut bermakna menempah kerja payah dan berliku, Kampong Alor Belanga tiada sejarah leluhur ulama bahkan tapak tahfiz dizaman dahulu adalah tempat segelintir  orang jahil merayakan animisme dengan acak menjamu hantu!

Ijtimak Tarbawi adalah medan pemugaran ukhuwwah dan pemerkasaan fikrah para amilin. Himpunan ini bukan sekadar wadah berkumpul anak-anak muda haraki , juga kaum muslimah penyinta ilmu, bahkan assabiqun yang menumpang semangat orang muda turut memeriahkan Ijtimak kali ini. Seperti ungkapan Ayah Ngah , Timbalan Assabiqun Pusat ( Hj Ismail Mohamed)" orang muda inilah pelapis perjuangan..tiada jalan mudah untuk membuka jalan dalam perjuangan..kami orang tua tak lama dah, selagi ada hayat maka berjuanglah kami".  Sangat malu jika anak muda bercakap soal keselesaan berjuang, manja dan rapuh meniti ujian. Tahniah kepada DPPM,DPP Terengganu, DPP Besut,  panitia Ijtimak Tarbawi, Relawan-relawan an nur Besut dan seluruh peserta ijtimak. 


(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Penyelaras Parlimen Besut)

DrAbu Zahra

Ulasan