Komited Sejahterakan Rakyat, Tunai Janji Manifesto Dan Pelbagai Skim Bantuan


KUALA TERENGGANU : Kerajaan PAS Terengganu komited menyejahterakan hidup rakyat dengan melaksanakan sepenuhnya 20 janji manifesto pilihan raya umum ke 14 (PRU14), sebelum habis penggal pemerintahan tahun depan.

Anggota (Ex-officio) Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu  Dato’ Tengku Hassan Omar berkata, Kerajaan Terengganu menjanjikan pelaksanaan 20 janji manifesto untuk tujuan tersebut bertujuan membantu rakyat yang memerlukan.

“Dari 20 perkara dalam manifesto itu, kini 18 janji telah ditunaikan sebahagiannya dalam pelaksanaan dan sebahagiannya telah dilaksanakan sepenuhnya.

“Dua janji lagi mengambil masa kerana masalah teknikal dan setengahnya berkait dengan masalah perundangan dan kita tangguh sekejap tetapi bersedia melaksanakannya apabila selesai masalah yang kita hadapi itu dan dijangka akan dilaksanakan sebelum selesai penggal pemerintahan kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival TMBS DUN Ladang di Dataran Khairun Nisa’ di sini. 


Bagaimanapun Dato’ Tengku Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang menjelaskan, tidak dinafikan ada kelemahan dalam pelaksanaan rancangan itu tetapi kerajaan terus berkhidmat untuk tujuan tersebut.

 “Banyak lagi kita nak bantu dan berilah sokongan kepada kami, di peringkat kerajaan kita sentiasa memenuhi janji yang kita buat melalui manifesto pilihan raya yang mesti dilaksanakan dalam sesi penggal pemerintahan sesi ini.

“Minta maaf jika ada salah silap terutama penduduk DUN Ladang yang saya belum pergi ziarah lagi kalau boleh saya nak pergi melawat ke semua rumah penduduk DUN Ladang, itu adalah harapan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, PAS berusaha membantu rakyat dengan pelbagai cara selama empat tahun memerintah termasuk menjaga kebajikan dengan pelbagai bantuan tanpa mengira agama, parti dan warna kulit.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata, sebagai kerajaan, parti Islam itu telah berusaha sehabis daya bagi memastikan semua rakyat di seluruh negeri terbela. 

Antaranya kata beliau, pelbagai skim bantuan termasuk, Tabung Darul Iman, I-Belia, I-Fitri melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN dan Parlimen dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).


“Jika tuan-tuan dan puan-puan ada apa-apa masalah bolehlah mengadu kepada Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN dan Parlimen, Insya Allah kerajaan sedia membantu sedaya mungkin menyelesaikan masalah supaya hidup rakyat Terengganu terbela,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Dialog Rakyat di Karnival TMBS DUN Ladang di Dataran Khairun Nisa’ Jalan Sultan Omar di sini pada Jumaat.

Haji Hanafiah yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata orang-orang bukan Islam juga sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dan pelbagai bantuan telah disediakan untuk mereka sebagaimana bantuan diberikan kepada rakyat beragama Islam.

“Jawatankuasa perpaduan nasional duduk di bawah saya, orang cina, orang India dan orang siam dan kerajaan memantau mereka supaya tidak berlaku insiden perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat di negeri Terengganu,” jelasnya.

Katanya, beliau memanggil tiga bulan sekali entiti masyarakat termasuk orang Cina, India, pihak polis dan sukarelawan, duduk semeja berbincang bagi memastikan kesejahteraan dinikmati oleh seluruh rakyat negeri Terengganu.


Ulasan