PAS Bimbang Pengundi Boikot, Tidak Keluar

 


KUALA TERENGGANU  - PAS bimbang pengundi boikot dan tidak keluar melaksanakan tanggung jawab kerana keputusan pembubaran parlimen yang  tergesa-gesa dan tidak dipersetujui sebahagian besar rakyat.

Yang DiPertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli percaya, keputusan yang diambil Perdana Menteri akibat desakan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan akan menjejaskan masa hadapan negara.

"Jadi ini yang mendatangkan kerisauan maka hasil yang akan didapati tidak sebagaimana yang diharapkan dan yang keluar hanya sebahagian kecil.

"Sebagai contoh yang keluar mengundi hanya 38 peratus, apabila yang sebilangan kecil ini akan menentukan kemenangan sesebuah parti akan tetap menjadi kerajaan.

"Namun, sebahagian besar tidak keluar mengundi itu dari segi nisbah peraturannya gagal, dan kerajaan yang dibentuk nanti bukan yang terbaik," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Undang-undang Pilihan Raya dan Politik Semasa dianjurkan oleh Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi (LUHAM).

Walaupun terkilan dengan keputusan tersebut, namun katanya PAS telah melakukan persediaan yang terbaik bagi menghadapi PRU15.

"Senarai calon telah dikemukakan dan dihantar ke negeri untuk dibawa ke pusat dan calon yang akan ditonjolkan adalah yang terbaik dan menepati kriteria.

"Di Terengganu ini kita yakin, terutamanya kawasan Dungun sendiri 'mood' rakyat sangat baik, memilih untuk masih kekal bersama PAS dan juga telah berlaku pertambahan ahli," katanya.

Oleh kerana itu, beliau turut berharap agar negeri melaksankan semua keputusan, memperkukuhkan PN, menangguhkan kerjasama dengan BN serta memutuskanbhubungan dengan PH.

Tegasnya lagi, tindakan Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan suatu tindakan tepat dan baik.

"Dengan menangguhkan pembubaran DUN boleh mengurangkan sedikit risiko dan tumpuan menghadapi banjir akan dapat dipertingkatkan," katanya.

Ulasan