PAS Kawan Paling Setia


Apabila Presiden PAS menerangkan berkenaan tindakan dan keputusan PAS bersabit dengan siapa pilihan PAS sebagai rakan dalam PRU nanti, beliau menerangkan dengan jelas fakta politik kerana beliau seorang pakar dalam bidangnya. 

Dan beliau mengukuhkan dengan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w, kerana beliau sememangnya berkemahiran berfatwa dan berhukum.

Tetapi dibalas oleh lawan dan musuh PAS dengan penuh kebencian, teori-teori yang cuba menjatuhkan beliau seperti diktator, mengenepikan perlembagaan PAS dan sebagainya. 

Hanya kejian, tanpa dalil agama, mahupun yang berkata itu pernah terjun dan bergelumang dengan politik di lapangan.

Itu sahaja kemampuan mereka, tidak mampu memberikan sesuatu yang lebih baik, tetapi hanya kutukan kebencian. 

Kerana apa? Mudah, kerana mereka tidak berjaya mengajak atau meruntuhkan prinsip dan pegangan Presiden PAS, sebagaimana pengakuan beliau betapa ramai yang memujuknya untuk bersama-sama BN. Bagaikan budak-budak, bila tidak dapat, maka dijelirlah lawannya.

Kentalnya Presiden PAS memegang janji persahabatan dengan Bersatu. Tegasnya beliau mengarahkan ahli PAS membantu PKR semasa bersahabat dengan PAS dahulu. 

Teguhnya beliau tidak membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat, sehingga PAS ditendang keluar. Inilah contoh orangnya yang Islam mahukan. Berpegang kepada janji, waktu sakit atau senang.

Apabila diberikan jawatan dalam kerajaan, PAS laksanakan dengan begitu tekun. Tiada kritikan dari PM dan juga ahli kabinet yang lain terhadap PAS sebagai salah satu ahli Keluarga Malaysia.

Malah diakui PM bahawa PAS tidak gilakan jawatan dengan tidak pernah mengugut atau menekan PM supaya diberikan jawatan utama sebagaimana parti lain.

Prinsip inilah yang sebenarnya sangat diinginkan oleh parti-parti lain, kerana PAS apabila berkawan, akan memastikan kawannya mendapat pertolongan yang maksima daripadanya. 

Apatah lagi ketika semua parti-parti di Malaysia sekarang tidak boleh mendabik dada, mendakwa mereka boleh menang dua pertiga dengan mudah dalam PRU seperti zaman sebelum milenium dahulu. Butakah pengkritik PAS itu?

PAS tidak mencari musuh, tetapi mencari prinsip yang tidak bertentangan dengan agama. Atau maslahah yang paling kecil dengan kerja yang paling terbaik. Apalah sangat dengan gelaran diktator, sedangkan pihak lain melawan Islam secara langsung atau tidak dalam tindakan mereka kerana kejahilan.


Mohd Nasir Abdullah

15 Oktober 2022

#TeguhPertahan

Ulasan