Peruntukan RM4.5 Juta Setahun Diagih Secara Seimbang


KUALA TERENGGANU - Rakyat kawasan Parlimen Kuala Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM4.5 juta setahun diagihkan dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, perniagaan dan kebajikan.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata peruntukan itu diagihkan secara seimbang supaya golongan B40 khususnya mendapat manfaat dari peruntukan tersebut.

“Setiap tahun kita membelanjakan tidak kurang dari RM4.5 juta peruntukan kerajaan diagihkan termasuk dalam sektor pendidikan yang mana sektor ini menjadi  tumpuan utama saya dalam memastikan modal insan berkualiti tinggi dapat dihasilkan.

“Saya telah memberi sumbangan kepada hampir seluruh sekolah yang ada dalam kawasan, diterima daripada peruntukan di bawah saya biasanya dalam jumlah RM5,000, ada yang dapat RM10,000 dan ada yang dapat RM20,000 untuk sebuah sekolah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Pusat Media Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini hari ini.

Katanya, dalam sektor perniagaan pula beliau berusaha membantu para penjaja dan peniaga di samping  menjaga kebajikan golongan B40.

Ini termasuk kata beliau perbelanjaan projek mesra rakyat seperti pembinaan baharu rumah rakyat, baik pulih rumah, baik pulih infrastruktur, membina baharu longkang dan membaik pulih kawasan penjaja di Kampung Tiong untuk kaum tionghoa.

“Infrastruktur lain termasuk membaik pulih pelbagai pondok penunggu bas, musolla dan sebagainya adalah program rutin yang kita laksanakan di bawah peruntukan Parlimen Kuala Terengganu.

“Melihat kepada senarai banyak kita telah capai sebenarnya (untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan),” jelasnya lagi.

Sementara itu menurutnya, sebahagian yang tidak dapat ditampung melalui peruntukan sedia ada beliau berusaha mencari dana lain untuk tujuan tersebut.

Ulasan