PN Muktamad Pembahagian Kerusi Sebelum Jumaat Depan


KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) bakal memuktamadkan pembahagian kerusi bersama parti gabungannya dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar berkata, pimpinan utama PN akan mengadakan perbincangan lanjut susulan keputusan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) memilih untuk bersama PN berbanding UMNO.

“Kerusi untuk pilihanraya bukan sahaja di Terengganu tapi di seluruh Malaysia akan dibincangkan dalam tempoh seminggu ini, Insya-Allah sebelum Jumaat depan akan selesai.

“Fokus mesyuarat nanti akan melibatkan pembahagian kerusi DUN dan juga parlimen, maka kita (PN) akan tentukan nanti,” katanya. 

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Bola Sepak Kejuaraan Terengganu 'Football League 2022' di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, di sini hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas menjelaskan bahawa kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kesediaan bekerjasama dengan Parti Pejuang adalah satu laporan mengelirukan oleh media.

“Saya ada menerima ‘WhatsApp’ daripada beliau mengatakan bahawa ada silap faham tentang apa yang dilaporkan, jadi sebenarnya kenyataan tersebut bukan begitu,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata bahawa semua strategi bagi menghadapi PRU adalah dinamik dan mungkin berubah mengikut situasi semasa sehingga tiba hari penamaan calon.

Ulasan