PRU 15 : Nyawa Rakyat Lebih Utama


KUALA TERENGGANU - Nyawa rakyat menjadi keutamaan sekiranya Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) dilaksanakan ketika musim tengkujuh pada bulan November nanti.

Pengarah Pilihanraya PAS Negeri Terengganu, YB Ariffin Deraman berkata, melalui kajian yang telah dibuat oleh Jabatan Pilihanraya, ramai pengundi luar tidak bersetuju diadakan PRU-15 pada musim banjir ini.

Katanya, walaupun PAS Terengganu sentiasa bersedia untuk bertanding namun melihat kepada keadaan dan kepentingan semua pihak bahawa PRU-15 ini tidak sesuai untuk diadakan buat masa sekarang.

“Kita bersedia sejak mula-mula menjadi kerajaan negeri lagi melalui undi yang diberikan oleh rakyat telah kami buktikan dengan khidmat terbaik dan sentiasa komited untuk kehadapan.

"PRU-15 ini dilihat tidak mengizinkan kerana kemungkinan banjir yang berlaku akan menjejaskan situasi Pilihanraya nanti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Bicara Isu Semasa bersiaran langsung di laman Facebook PAS Terengganu, pada hari ini.

Tambah Ariffin, sebelum daripada pembubaran parlimen, pihak PAS sendiri telah mengisytiharkan bahawa Terengganu tidak akan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk juga negeri Kelantan dan Kedah.

"Pihak kami tidak bersetuju kerana musim tengkujuh di Terengganu dan Kelantan yang berkemungkinan akan berlaku banjir besar susulan monsun timur laut," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menyokong apa sahaja keputusan di peringkat PAS Pusat samada diteruskan ataupun dibubarkan mengikut tempoh matang sehingga tahun depan.

"Namun keputusan akan diketahui pada 13 Oktober iaitu esok yang mana kepimpinan PAS negeri akan mengadakan mesyuarat di peringkat PAS Pusat.

"Justeru esok akan diumumkan samada dibubarkan ataupun tidak," tambah Ariffin.

Ulasan