PRU15: RM420 juta bagi Laksanakan Empat PRN Membazir?


Kerajaan telah membelanjakan RM420 juta bagi melaksanakan empat pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata daripada jumlah itu, RM194 juta dibelanjakan tahun lalu untuk melaksanakan PRN Melaka dan PRN Sarawak.

"Kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pelaksanaan beberapa siri Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), adalah RM130 juta untuk PRN Sabah Ke-16 (pada 2020).

"Selain itu, RM45 juta bagi PRN Melaka Ke-15 (pada 2021); RM149 juta untuk PRN Sarawak Ke-12 (pada 2021) dan RM96 juta bagi PRN Johor Ke-15 (tahun ini)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 23 Mac 2022.

Bahkan kos impak daripada PRN tersebut yang ditanggung kerajaan adalah lebih besar berikutan ia diadakan pada musim pandemik.

Kementerian Kesihatan telah terpaksa membiayai jutaan ringgit pula wang rakyat bagi mengekang Covid-19 yang merebak akibat diadakan PRN Sabah.

Entah berapa juta pula dibelanjakan kerajaan bagi mengongkosi kawalan SOP yang ketat dan kerahan dibuat bag menempatkan para petugas barisan hadapan.

Semua ini seolah-olah telah dilupakan bahkan tidak diambil kira sama sekali oleh kelompok pemimpin yang mendesak parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan.

Perdana Menteri (PM) ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan mendadak kes COVID-19 di Malaysia.

Menurutnya, PRN itu terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas.

“Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas DUN dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh,” katanya.

Justeru, penggal parlimen ke-14 masih panjang dan kerajaan 'Keluarga Malaysia' masih baru lagi serta belum sempat memulih dan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

Walaupun unjuran yang dibuat menerbitkan angka-angka yang memberangsangkan, namun Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa sama-sama meramalkan dan memberi amaran tentang kemelesetan ekonomi yang akan berlaku pada tahun depan.

Namun apakan daya, nasi bukan sahaja sudah menjadi bubur, tetapi telah pun menjadi basi, apabila PM telah pun mengisytiharkan pembubaran Parlimen!

Majoriti rakyat tahu, siapa yang menjadi dalang mendesak Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob supaya melakukan apa yang telah terjadi. 

Ramai warganet mengecam PM kerana membubarkan Parlimen ke-14, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Sesetengah warganet marah dan kecewa kerana Ismail Sabri mengikut telunjuk Umno dan kluster mahkamah yang hanya mempunyai 36 daripada 222 Ahli Parlimen, dalam membuat keputusan membubarkan Dewan Rakyat.

Justeru menjadi hak kepada ketua-ketua kerajaan negeri samada mahu atau tidak, menuruti langkah kerajaan persekutuan. 

Mengapa mesti kerajaan negeri-negeri mahu 'masuk lubang biawak' mengikut keputusan kerana asasnya negeri-negeri yang membentuk persekutuan. 

Malaysia adalah sebuah persekutuan 13 negeri yang beroperasi dalam raja berperlembagaan di bawah sistem parlimen 'Westminster' dan dikategorikan sebagai demokrasi berparlimen. 

Rakyat harus menghormati keputusan Kerajaan negeri sebagaimana kerajaan persekutuan patut ditaati dan semua pihak mesti mengamalkan dan menghormati demokrasi. 

Mungkin Umno dan BN 'perasan' mereka lebih kuat, sedang hakikatnya telah terbukti dan keangkuhan pemimpin Umno telah mendapat balasan pada PRU-14. 

Anak-anak muda perlu mendapat kebebasan dalam membuat pilihan dan memberi mandat kepada parti yang benar-benar layak untuk memerintah, sesuai dengan zaman ini yang penuh bermaklumat. 

Sudah tentu pemimpin yang bersalah melakukan rasuah, pecah amanah dan penyelewengan serta parti yang telah terbukti tidak amanah kepada mandat rakyat, tidak sayugia dipilih. 




Ulasan