Ramai 'Claim' Perjuang Bebas Rasuah, Tapi PAS Yang Berjaya Buktikan


KUALA TERENGGANU - Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi pemimpin PAS dalam kerajaan hari ini membuktikan bahawa parti itu seperti pepatah Inggeris, 'Walk the talk, not talk the talk'.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Ahmad Amzad Hashim, berkata ironinya ternyata banyak pihak boleh 'claim' mereka memperjuangkan bebas rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Realitinya, kata beliau, hanya PAS berjaya membuktikan senario itu melalui kepimpinan dan tauladan para pemimpin parti itu yang berada dalam kabinet kerajaan hari ini.

"Kita ada figura-figura yang hebat seperti Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, siapa sangka boleh menjalankan amanah di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan begitu cemerlang sekali.

"Kejayaan beliau diiktiraf sehingga mendapat anugerah di peringkat antarabangsa, malah tiada sebarang isu membabitkan integriti salah laku dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu program temubual 'Pencapaian PAS dalam Pentadbiran Kerajaan' yang diadakan secara langsung di Facebook Wave of Selangor, pada Khamis, 13 Oktober yang lalu.

Mengulas lanjut katanya, kejayaan itu merupakan hasil daripada tarbiah dalam kalangan pimpinan PAS sendiri yang sangat menekankan berkaitan kepentingan integriti, tanggungjawab dan sebagainya.

"Saya ingat selain daripada tnggungjawab dalam kementerian, bahkan tarbiah dalam kalangan pemimpin terus berjalan, tamrin, usrah sesama kita yang mana pimpinan sentiasa ingatkan kita kepentingan, integriti, soal berkait dengan dosa pahala.

"Jadi saya rasa ini adalah sesuatu perkara yang membezakan jauh dengan parti lain, kita dididik dengan sebegitu, dan hasilnya dapat dilihat kepimpinan PAS baik di peringkat negeri.

"PAS dah memerintah lama di Kelantan dan kita juga memerintah di Kedah, kita juga dah jadi sebahagian daripada Selangor, sampai sekarang tak ada satu pun kes yang berkait dengan rasuah," ujarnya.

Dalam masa yang sama kata AJK PAS Pusat itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PAS sangat serius untuk menampilkan calon-calon yang mempunyai kelayakan, asas sahsiah yang baik dan mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

"PAS mempunyai paling ramai calon berlatarbelakangkan Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana, yang juga sifar daripada salah laku integriti seperti rasuah.

"Tidak ada pemimpin PAS yang terlibat dari segi salah laku rasuah, itu adalah fakta dan statistiknya," kata beliau.

Ulasan