Umno Perlu Bertanggungjawab

 


KUALA TERENGGANU  -  Pemimpin Umno perlu bertanggungjawab kepada rakyat sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini kerana terlalu mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Naib Presiden PAS, YAB Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau tahu pada saat itu rakyat mengalami kesukaran kerana musim banjir.

"Siapa yang mula-mula nak buat pilihanraya dan menyusahkan rakyat yang mana negeri-negeri tidak berhajat untuk buat.

"Telah dimaklumkan kepada mereka bahawa tiada hajat di negeri-negeri ini termasuk negeri-negeri daripada Pakatan Harapan (PH)," jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman, pada semalam.

Menurutnya, Umno tetap berkeras untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15 walaupun tiada alasan kukuh.

"Bila diberitahu tidak ada hujah yang kuat adakan pilihanraya tetapi mereka nak buat juga.

"Jadi merekalah sebenarnya yang mengheret rakyat kerana memenuhi kehendak peribadi berapa orang pemimpin mereka yang ada agenda peribadi bukan agenda rakyat dan bukan agenda negara," tegasnya.

Justeru itu, pihak Umno harus  bertanggungjawab kerana mengheret rakyat bersama dalam agenda yang tidak sepatutnya diadakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

Ulasan