'Ahli PAS Keluar Parti' Budaya Politik Kuno


BESUT – Pengisytiharan ahli PAS keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN) dianggap budaya politik lama yang masih diulang sehingga kini.

Timbalan Yang DiPertua PAS Besut, Mohd Nur Khuzaini A. Rahman berkata, strategi tersebut tidak melemahkan parti PAS bahkan rakyat semakin menolak cara kempen tersebut.  

“Semalam Barisan nasional mengadakan majlis pengisytiharan bahawa seramai 300 orang ahli PAS keluar parti dan beri sokongan pada mereka. 

“Budaya politik ini tahun 90-an mungkin boleh diguna, tapi hari ini sudah 2022. Maka saya pesan kepada BN Terengganu terutamanya di Besut budaya itu tidak perlu lagi dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera turut berkata gelombang anak muda kini tidak lagi menjadikan BN sebagai parti pilihan dengan memilih PAS sebagai medan politik.


“Berita ini (ahli PAS keluar parti) memang menjadi buah mulut masyarakat, tetapi sebenarnya ia memberikan impak positif kepada PAS kerana rakyat mampu menilai berita itu palsu.

“Nasihat saya pada pengamal media terutamanya TV3 tidak perlu melaporkan berita sedemikian,” tambahnya.

Terdahulu, Barisan Nasional Terengganu melaporkan bahawa ahli PAS di beberapa daerah terutamanya Besut bertindak keluar parti dan menyertai BN sebagai modal kempen Pilihanraya Umum (PRU).

Lebih mengejutkan, carian orang ramai mendapati bahawa individu yang dikatakan keluar PAS dan menyertai BN sebenarnya masih memiliki nombor keahlian UMNO.

Hari ini merupakan hari ke-11 tempoh berkempen berlangsung dengan parlimen Besut menampilkan empat calon daripada gabungan parti berbeza dalam usaha merampas kerusi disandang BN sebelum ini.

Ulasan