Bukti Jelas Pengundi Kemaman Tolak BN


KEMAMAN - Bukti jelas para pengundi parlimen Kemaman menolak parti Barisan Nasional (BN) apabila parti tersebut tersungkur dengan majoriti 27,179 undi di tangan calon Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Penyandang kerusi Ustaz Che Alias Hamid menang bergaya dengan memperolehi 65,714 undi manakala Ahmad Said daripada BN mendapat 38,535 undi. 

Dua lagi pencabarnya, iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani daripada  Pejuang memperoleh 506 undi. 

Pada PRU14, Che Alias menang dengan majoriti 2,163 undi selepas meraih undi sebanyak 39,878 dengan menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mendapat 37,715 undi manakala calon PKR, Mohd. Huzaifah Md. Suhaimi memperoleh 12,911 undi. 

Keputusan tersebut diumumkan Pengurus Bahagian Pilihanraya Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman disini pada 19 November.

Justeru itu, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Hazri Jusoh yang dihubungi melalui telefon mengucapkan syukur diatas peningkatan undi luar biasa yang diperolehi.

"Alhamdulillah, peningkatan undi yang diperolehi oleh Che Alias kali ini adalah diluar jangkaan. Begitu juga dengan jumlah yang diperolehi di DUN Kijal yang diwakili oleh mantan Menteri Besar daripada BN juga memihak kepada PAS dengan majoriti menang sebanyak 2538 undi," katanya.

Hazri yang juga Pengarah Majlis Tindakan PAS DUN Kijal mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memilih PAS mewakili Perikatan Nasional dan optimis akan memenangi pilihanraya DUN nanti.

"InsyAllah dengan perkembangan prestasi cemerlang yang direkodkan disetiap DUN diseluruh Terengganu, saya yakin PAS akan dapat mempertahankan dan mengulangi kemenangan yang telah dianugerahkan Allah pada PRU lepas," ujarnya.

Ulasan