Calon PN Besut Optimis Menang Majoriti

 


KUALA TERENGGANU – Calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, optimis memenangi kawasan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau diisytiharkan Pengerusi PN Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai salah seorang calon yang bakal berentap dengan Ketua Bahagian UMNO Besut, Dato’ Nawi Mohamad.

Zulkifly berkata, keputusan PRU yang lepas menunjukkan majoriti kemenangan dari parti UMNO tanpa mengira undi Bersatu.

“Kemungkinan besar kita boleh berjaya, jika dilihat majoriti PRU yang lalu, mereka (UMNO) menang dengan majoriti 4,000 undi. Bersatu ada sokongan 6,000 ketika itu. 

“Jika semua 6,000 undi datang kepada kita maka kita boleh menang dengan kekuatan undi dari PAS sendiri,” katanya kepada media selepas Majlis Pengisytihan Calon Perikatan Nasional Peringkat Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang malam tadi.


Beliau turut mengulas keberangkalian pertembungan empat penjuru tidak akan mengganggu sasaran yang diletakkan PN di kerusi tersebut.

“Saya tidak rasakan Parti Amanah Negara dan Pejuang akan menjadi cabaran. Paling banyak mungkin 1,000 ke 2,000 undi. Saingan terdekat sekarang ni adalah UMNO sahaja,” tambahnya. 

Terdahulu, calon PN tersebut menjawat sebagai wakil rakyat Parlimen Setiu bermula 2013 sehingga 2018 sebelum mendakwa dikhianati UMNO menyebabkan beliau menyertai PAS pada 2018.

Beliau yang berkelulusan sarjana muda Undang-Undang pernah menjadi Hakim Mahkamah Seksyen Jenayah Komersial, Pengarah Mahkamah Terengganu dan Hakim Mahkamah Seksyen Kelantan.

Ulasan