Dr Alias Lawan Khairuddin Di Kuala Nerus


 MARANG - Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Dato' Dr Alias Razak bagi menentang calon BN, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar Terengganu itu 100 peratus yakin kerusi terbabit dapat dikembalikan semula kepada PAS selepas 'dilarikan' Mohd Khairuddin.

Kata beliau, setakat ini ahli PAS tidak akan bersama dengan Mohd Khairuddin, malah semua penyokong bersemangat untuk melawan.

"Orang khianat ini kita biarkan, sehingga kini ahli masih setia bersama PAS dan tidak mengikutnya.

"Dia dulu datang sebagai calon 'bidan terjun', jadi tidak ada apa-apa ancaman kepada kami (PAS)," katanya ketika ditemui media selepas dinamakan sebagai bakal calon.


Semua lapan bakal calon diumumkan Pengerusi PN Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Majlis Pengisytiharan Calon Pas Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru, Rusila di sini.

Dalam pada itu, Dr Alias berkata, beliau sudah merancang untuk membawa beberapa isu dalam sidang Parlimen jika dipilih rakyat.

"Antaranya projek tebatan banjir yang sudah lama dimohon tetapi masih tidak lulus. Insya-Allah jawatankuasa di peringkat parlimen akan selesaikan masalah banjir di Kuala Nerus.

"Soal perumahan, bandar baharu juga memerlukan dana daripada pusat, kemampuan dana negeri tidak mampu, selama ini kita banyak mohon tapi tersekat, Insya-Allah kita perjuangkan semula," katanya.

Ulasan