Dua Bakal Calon PN, BN Bertemu Di Surau


KUALA TERENGGANU - Dua bakal calon Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU15) dan Exco Kerajaan Terengganu bertemu buat kali pertama di Majlis Solat Jenazah di Surau Nur Hidayah,  Pulau Rusa Hulu di sini hari ini. 

Mereka itu termasuk bakal Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Ahmad Amzad Hashim,  bakal Calon Barisan Nasional (BN), Dato' Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia,  Sukan dan NGO negeri,  Ustaz Wan Sukairi Abdullah. 

Mereka menunaikan solat jenazah seorang kakitangan Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mohd Hassan @ Syamsuri  Ali,  54 dari Kampung Pulau Rusa Hulu,  di sini yang meninggal dunia 9 malam tadi. 

Turut serta menunaikan solat jenazah ialah kira-kira 60 orang penduduk setempat. 

Menceritakan hubungan beliau dengan bakal calon BN itu,  Ahmad Amzad, berkata Datuk Mohd Zubir adalah rakan sebilik beliau ketika menunaikan ibadat umrah di Mekah tidak lama dulu. 

Semalam ketika ditanya pemberita di Rusila Marang berkait dengan hubungan itu,  Ahmad Amzad berkata,  beliau tidak ada masalah sebagai rakan walaupun ada perbezaan parti politik. 

Ini kerana katanya,  PAS mengambil pendekatan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) sebagai satu kaedah berpolitik dalam negara ini. 


Ulasan