Entiti Penting Parti Islam Yang Memperjelas Dan Menafsir Dasar PAS


 Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

 Nama Majlis Syura Ulama PAS kelihatan penting dan diratib sebulan dua ini oleh seorang mantan ahlinya,  bak seorang bekas AJK PAS Pusat tanpa segan menggunakan nama bekas peguam PAS selepas berpindah bahtera. MSU kelihatan begitu sakral ditunggang namanya untuk membenarkan hujjah beliau melompat keluar jamaah dan melanggar baiah sebagai calon PRU 14 . Anak-anak muda yang baru berjinak dengan politik , juga orang awam berminat untuk mengenali apakah itu Majlis Syura Ulama PAS yang saban hari disebut oleh bekas MP Kuala Nerus, apakah badan ini mempunyai kuasa eksekutif dalam harakatul ummah atau pun PAS Pusat yang akan memutuskan soal strategi, mencatur dan pemutus dalam hala tuju PAS?

PAS dalam tujuh dasawarsa telah bergulat dengan lapangan dakwah tarbiah dan siasah, merentas gelora  tekanan politik regim sehinggalah menikmati kejayaan menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan dan berkuasa di tiga buah negeri. Keanggotaannya sentiasa membesar walau pelbagai tuduhan, usaha meremehkan PAS dibuat oleh para pembenci. Ramai sarjana Sains Politik meletakkan kekuatan PAS adalah kerana dipandu oleh alim ulama Serta dasarnya yang kukuh. Pimpinan boleh datang dan juga pergi meninggalkan bahtera PAS namun harakatul ummah ini terus bergerak. 

Perjalanan panjang harakatul ummah ini sangat berwarna warni, menerjang badai di samudera medan amal Islami yang luasnya tak bertepi, bersulam mehnah dan tribulasi. Dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulama merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan Parti-parti serta NGO-NGO yang lain. Kini, badan penting ini menerima terjahan dan kritikan daripada luar dan dalam PAS, dipaparkan kurang berfungsi malah dilanggar wewenang kuasanya . Media sosial digunakan semaksima mungkin untuk mengikis penghormatan kepada PAS serta mencederakan wibawa ulama PAS. 

PAS dikawal perjalanannya oleh Majlis Syura ulama, sebuah badan yang  yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS dizaman kebangkitan semula Islam. Badan ini menjadi 'vanguard' yang berautoriti dan mesti dilihat "bersih" para pengawal dalam entiti terpenting parti ini. Terpelanting seseorang tokoh daripada MSU pastilah ada alasan kecacatan akhlak dan kecurangan moral yang boleh dipersoalkan oleh masyarakat awam dan anggota jamaah. Kadang akibat obses dengan kuasa sehingga " menunggang " nama MSU untuk mencapai agenda peribadi seseorang tokoh. Sosok sebegini tidak layak menggalang jawatan penting dalam PAS.


Semarak kebangkitan Islam telah menjelmakan konsep kepimpinan ulama, PAS dengan agresif mewajahkan wataknya yang tertegak diatas tunjang dakwah, tarbiah dan siasah. Penubuhan Majlis Syura Ulama adalah cetusan bagaimana PAS berinteraksi dengan transformasi kepimpinan itu. Badan yang menghimpunkan ulama berwibawa mentarjih halatuju dan perjalanan parti Islam tertua di negara ini, penyambung legasi Hizbul Muslimin yang diharamkan pada tahun 1948.

 Apakah fungsi dan peranan MSU?  Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS. 

 Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada Nov 1987. Uniknya beliau juga Presiden PAS saat itu.

Majlis Syura Ulama berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak bercanggah dengan syarak, dengan erti kata lain, PAS terpandu dengan pedoman Islam. Ustaz Haji Yusuf Rawa menegaskan penubuhan Majlis Syura Ulama ini adalah untuk mengembalikan peranan ulamak sebagai pemimpin ummah dan segala dasar, segala keputusan parti akan sentiasa berpaut kepada ajaran Islam dan tidak akan keluar daripada panduan dan bimbingan mereka (Yusuf Rawa, 1987:18)

Harakatul ummah ini sangat signifikan dalam pandangan warga negara ini juga kepada pelbagai gerakan Islam di negara ummat Islam yang  lain. Terkini, PAS bergerak dalam kondisi aman damai dalam keadaan parti lain berantakan dalam isu pemilihan calon-calon PRU. Bahkan calon-calon PRU PAS melalui tapisan Majlis Syura Ulama, bukan sembarangan orang dikutip untuk mewakili PAS. Dalam sejarah PAS ada calon tak melepasi tapisan MSU kerana dikenali kuat berbohong ,namun sosok ini diambil bertanding oleh parti lain. Maka untuk menduduki kerusi dalam entiti penting jamaah ini mestilah daripada kalangan yang terbaik , jika terpelanting keluar  daripada Majlis Syura Ulama bermakna ada yang tidak beres disitu. Maka cukuplah untuk memanipulasi dan "menunggang" nama Majlis Syura Ulama untuk meluruskan " kebengkokan" hidup kita. Insyaallah kafilah ini akan terus terpandu dan selamat dengan panduan ulama haraki yang soleh!.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan