Fajar Kemenangan Menyingsing: Meruak Sebentar Kebelakang Cermin Kehidupan.

 


Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Fajar 20 November 2022, rakyat memisat mata pagi ini dengan udara segar angin perubahan yang membadai negara ini dalam PRU 15. Seperti mimpi indah yang mendamaikan sukma, PAS mencuat kedudukannya pada papan carta kemenangan, diratib namanya dalam pelbagai medium  pemberitaan negara samada arus perdana atau media sosial.

Parti Islam ini mendominasi kerusi Parlimen dan DUN, menambah pengkalan kuasanya di Perlis dan Pahang, berkuku teguh di Kelantan , Terengganu dan Kedah. Paling banyak memenangi kerusi DUN di Perak , yang dibimbangi sebelum ini jatuh kepada Dap dan rakan kongsi kuasanya.

Gema takbir, tasbih dan istighfar memenuhi ruang udara malam 20 November ,berselang dengan raungan kenderaan yang meraikan kemenangan PAS , Perikatan Nasional dijalanan. Euforia gembira ini diusung oleh anak-anak muda yang begitu teruja dengan kemenangan, kelompok pengundi muda yang paling besar jumlahnya  dalam hirarki umur pengundian. Anak muda yang terdedah dengan maklumat dihujung jari, menjatuhkan parti yang paling lama berkuasa di negara ini, menolak gabungan politik yang menjadi antek- antek kuasa Barat serta ingin melihat pemuafakatan baru politik yang bersih yang mampu menjalankan tatakelola kerajaan yang baik.

Tahniah berganda kepada amilin PAS, pendokong PAS termasuk yang bukan Islam kerana kalianlah pemenang sebenar pilihanraya ini. Bersengkang mata, mengucur keringat, ditikam panas matahari , berhujan demi memastikan calon-calon PN / PAS menggapai kemenangan. Bertahun ahli-ahli yang ikhlas ini menabung untuk menyediakan PAS kewangan yang baik , tabung-tabung buluh dan tin milo menjadi saksi iltizam mereka untuk meraih kemenangan, bukan seperti fitnah Rafizi yang menyebut anak - anak muda dibayar untuk membuat konten tiktok!.

Parti Islam ini tak didokong oleh para cukong, harakatul ummah ini tidak pandai bab sakau menyakau sehingga suburnya budaya kroni kapitalisme dalam negara. Kontraktor -kontraktor besar kurang berminat melingkari parti pak lebai ini kerana orientasi dan tendensi gerakan ini bukan untuk menumpuk harta . Dalam kocek ahli- ahli PAS itulah harta paling berharga yang dimiliki oleh gerakan Islam tertua negara ini. Segalanya bermuara daripada niat yang bersih dan keikhlasan berjuang.

Keikhlasan dan istiqamah mudah disebut, meluncur di bibir mulut namun untuk dilaksanakan paling sukar. 

Harakatul ummah ini merimbun dengan hadirnya ribuan cendikiawan pelbagai latarbelakang, ribuan teknokrat serta doktorat yang mampu untuk membangunkan negara ini jika diberi peluang. Golongan anak muda menyedari siapakah kelompok teras dalam PAS. Minggu lepas sebuah akhbar berbahasa Cina telah mendedahkan hakikat bahawa parti Islam inilah yang mempunyai ramai pendokong yang berpendidikan tinggi yang bersiap mengambil alih pemerintahan negara dengan dipaparkan wajah Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ( PhD Aero Angkasa) dimuka hadapan akhbar . PAS telah melepasi tujuh dekad perjuangan kerana adanya watak-watak yang dikenali di langit, mereka bekerja keras memenangkan PAS dengan idea-idea cerdas seperti almarhum Dr Khazani Abdullah.

Di kawasan perdesaan pula, rakyat jembel yang mendokong PAS, sanggup melakukan apa sahaja agar perjuangan ini mencapai matlamat. Dalam PRU 15 ini , ada seorang bapa membelanjakan lima ribu ringgit bagi membeli tiket anak-anaknya di Sabah balik mengundi PAS. Pos- pos pilihanraya PAS dipelbagai tempat meriah dengan aktiviti, pastilah pelbagai juadah disediakan bak menyambut hariraya dengan  bulan penuh sentiasa kelihatan!. Rakyat jembel ahli PAS, mereka ikhlas dan berkorban untuk perjuangan Islam tanpa adanya matlamat peribadi, agenda tersembunyi untuk meraih laba dunia, mobiliti sosial dan sebagainya.

Teman-teman mungkin biasa mendengar kisah heroik daripada seorang bekas pemimpin kanan PAS yang kini dalam bahtera lain yang setia dengan DAP. Kisah ini dijaja dipelbagai program dalaman PAS satu ketika dahulu, dengan nada melankolik sang pembual yang piawai itu berjaya meruntun hati kita semua. Sebuah sketsa pengorbanan ahli yang hebat,

Kisah penoreh getah di kawasan perdesaan Kedah yang menyisihkan tiga keping getah setiap hari untuk infaq kepada perjuangan. 

Rumahnya uzur dan buruk, pakaiannya lusuh dan lama tak bertukar namun sebahagian pendapatan hariannya wajib disumbangkan kepada PAS. 

PAS sentiasa didoakan oleh orang miskin yang memegang teguh nilai beragama, jamaah ini dibentengi oleh sang jembel yang sentiasa ingin berbahagi hartanya dengan jamaah yang dicintainya.Kelompok inilah yang kita temui setiap kali himpunan besar di kota raya, datang daripada hujung kampung, menabung duit untuk menyertai rombongan ke muktamar, himpunan, demonstrasi, dan lain-lain program jamaah. Kadang dengan sandal buruk, baju atau jubah yang lusuh namun memerhati dengan bangga kearah pentas pimpinan!.

Penulis teringat saat Ayah Chik menitipkan nasihat dengan nada yang lirih, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pernah menitipkan pesanan kepada anggota legislatif PAS, pimpinan PAS Pusat selepas PRU14 dahulu agar istiqamah dengan perjuangan, jangan mengabaikan ahli-ahli PAS bawahan yang telah berkorban untuk memenangkan mereka dalam pilihan raya. Pemimpin menikmati elaun dan pelbagai kemudahan, jangan sang pemimpin atau isteri pimpinan mempamerkan gaya hidup mewah kerana ianya sangat mencederakan nurani ahli yang ikhlas.

Ahli-ahli yang bersengkang mata, mengucur keringat, berkorban harta benda bahkan melebihi calon pilihan raya bagi memastikan kemenangan jamaah. 

Kelompok ahli yang istiqamah sehingga helaan nafas terakhir, mereka kadang tak dikenali, tak mendapat ganjaran dunia seperti elaun dan pencen namun kerja buat mereka untuk mendapat keredhaan Allah itulah yang menyuburkan perjuangan Islam walau berdada dengan pelbagai mehnah dan ibtila'. Peliharalah bahtera jamaah ini daripada menjadi bahan cercaan dan penistaan, jagalah gaya hidup serta pergaulan dan jangan membina jarak dengan jentera parti yang bertungkus lumus memenangkan PAS dalam pilihanraya yang baru melabuhkan tirai. Ujian kemenangan sangatlah besar dan memancing pesona. Semoga Allah memelihara keikhlasan kita semua, mengampunkan dosa-dosa kita, istiqomah diatas jalan dakwah ini.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan