Kemenangan Besar Manifestasi Kerja Keras Jentera


KUALA TERENGGANU - kemenangan besar PAS di Terengganu baru-baru ini bukan sekadar cetusan gelombang tetapi ia merupakan manifestasi kerja keras jentera parti yang berterusan menyantuni dan membantu rakyat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata, semua agensi kerajaan PAS terutamanya lantikan politik seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri ( DUN) telah memainkan peranan yang cukup efektif sehingga dilihat rakyat.

"Pada musim banjir dahulu dan ketika menghadapi pandemic Covid-19 dapat dilihat bagaimana mereka bersama semua jentera parti 'all out' buat kerja 'habis teh', 'habis reng' tanpa mengira perbezaan politik semua masyarakat disantuni dan disampaikan bantuan.

"Keadaan tersebut telah memberi satu pemahaman baru terutamanya generasi muda bahawa PAS boleh mentadbir dengan baik di Terengganu, serta telah menunjukkan satu teladan yang bagus dengan menyantuni seluruh anggota masyarakat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Persidangan DUN Terengganu, di sini, pada Selasa 

Mengulas lanjut katanya, impak tersebut merupakan satu perkembangan yang menarik sehingga mampu menarik generasi muda yang masih tidak menetapkan pendirian untuk berpihak kepada mana-mana parti .

"Mereka terjemahkan diatas kertas undi dengan melihat kepada persekitaran mengenai apa yang berlaku.

"Kita sendiripun tidak menjangka kemenangan yang agak besar dan luar biasa ini, mudah-mudahan momentum ataupun rentak gelombang ini akan terus bersemarak," katanya.

Justeru, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh generasi muda hari ini kerana meletakkan kepercayaan kepada PAS untuk membela nasib rakyat .

"Terutamanya yang berada di luar Terengganu mereka telah balik mengundi dan kebanyakkanya memberikan sokongan yang jelas bahawa kita mempunyai daya keupayaan untuk mentadbir dengan lebih baik.

"Insya-Allah Pilihan Raya Negeri nanti kita akan terus mentadbir Terengganu dengan membawa agenda yang akan sampai kepada rakyat bawahan tanpa ada halangan dan sekatan," ujarnya lagi.

Ulasan