Mangsa Ribut Kampung Undang Terima Bantuan Segera


MARANG - Mangsa ribut dan puting beliung yang mengalami kerosakan rumah di Kampung Undang di sini menerima bantuan kewangan segera daripada PAS Kawasan Marang.

Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Marang, Haron Yusof berkata, bantuan tersebut melibatkan sekurang-kurangnya 10 keluarga terjejas.

"Bantuan ini bagi meringankan beban mangsa yang rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.

"Kita memahami masalah yang dihadapi ketika ribut ini ialah nak kena selesaikan dengan segera bumbung mereka yang tercabut atau bilangan zink yang diterbangkan angin kerana bimbang jika hujan akan memberi kerosakan lebih teruk dalam kawasan rumah tersebut," katanya ketika ditemui media di tapak kejadian semalam.

Menurut Haron, pihaknya juga sudah mengarahkan Jabatan Amal Malaysia Marang untuk membantu membersihkan rumah mangsa daripada pokok yang tumbang.

"Alhamdulillah, sejak awal lagi ketika ribut melanda mereka sudah bersiap sedia membantu mangsa.

"Sebaik reda, kesemua anggota Amal membersihkan rumah yang terjejas, memotong pokok-pokok yang tumbang dan atap yang tercabut.

"Insya-Allah kami akan terus memberikan bantuan, bantuan ini juga merupakan rutin setiap kali musim tengkujuh," katanya.

Petang semalam, sebanyak 25 premis, termasuk kediaman dan kedai mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda kira-kira jam 2.30 petang.

Ulasan