Melenyapkan Label Kubu Kuat Umno

 


BESUT PINTU TAWAN TERENGGANU

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Anak-anak muda menjadi peserta paling teruja dalam pesta demokrasi pada kali ini, mereka menghijaukan daerah agrarian ini dengan bendera bulan berlatar hijau sehingga menenggelamkan bendera dacing. Pilihanraya kali ini tak sebagaimana 9 Mei 2018, 

Pertandingan PAS vs BN kelihatan tidak seimbang dan seperti orang gila mabuk kuasa bagi BN di daerah lain. PRU 14 ada bendera PAS diturunkan oleh pihak PBT atas arahan BN yang berkuasa, mereka beraja dimata ,bersultan dihati. Namun, didaerah Besut, menurunkan bendera sesuka hati maka kesannya fatal!, masing-masing tahu akan batasan berpolitik. Daerah ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar.

Besut pada tahun 1959 ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini. Saat itu semua DUN berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951. Besut dengan jajaran sekolah pondok, sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu juga dilantik daripada anak Besut, iaitu Haji Daud Samad.

PAS kali kedua memenangi Terengganu pada tahun 1999, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman UMNO/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh  Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger dijalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh regim Mahathir. Kawasan "Malay Belt" sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat-empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini. Kapten Bersara Hassan Mohamad telah berjaya mengalahkan calon BN dan kemenangan ini menampar maruah UMNO di daerah paling tercorot negeri Kuwait Malaysia ini.

PRU 14 pada 9 Mei 2018 telah mengubah lanskap politik negeri Tokku Paloh ini, PAS tanpa pemuafakatan politik telah berjaya menawan Terengganu bagi kali ketiga. Namun , parlimen P033 tetap menjadi milik BN , dimana DS Idris Jusoh menang dengan lebih empat ribu majoriti. Tiga DUN dalam parlimen ini masih dimenangi oleh BN dan kekal menjadi sebutan daerah Besut adalah kubu  BN/ Umno. Daerah paling tinggi kadar kemiskinan, paling mencuat gejala penagihan dadah di Terengganu,daerah paling meriah dengan pelbagai gejala sosial di negeri ini.


Melihat kepada kejayaan kerajaan PAS  Terengganu dalam tempoh empat tahun setengah  ini mentadbir negeri dengan cemerlang, melunaskan janji - janji dalam manifesto PRU 14, impaknya terpercik ke daerah Besut. Penyelaras - penyelaras lantikan kerajaan negeri telah memainkan peranan sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan negeri. Bantuan dan agihan kepada rakyat tanpa mengira bendera dan latar sosial. Zaman menindas lawan politik sudah menjadi sejarah dan ini membezakan zaman pemerintahan BN dan zaman kerajaan Islam memerintah.

Berita kejayaan mengurus tadbir dengan tatakelola yang baik oleh DS Dr Ahmad Samsuri telah memercik kesannya dan  turut mewabak ke Besut. Rakyat Terengganu muak dengan ketidakcekapan, ketirisan dan perangai bodoh sombong UMNO Terengganu sebelum ini. Pembaziran dan salah urus kerajaan negeri Terengganu sebelum 9 Mei 2018 sudah berada pada tahap maksima. Menjadi pemimpin kerajaan di negeri penyu menangis ini seolah lesen untuk menumpuk kekayaan, membina rangkaian kroni kapitalisme tanpa sepicing pun rasa malu kepada rakyat. Lihat bagaimana netizen membahan status yang menyokong calon BN di media sosial, naratif gelap bahawa menyokong BN adalah menyokong korupsi sangat kuat dalam benak pengundi kali ini terutama anak-anak muda.

Calon P033, Dato Che Zulkifli atau Abe Zul cukup bergaya kali ini untuk dibandingkan dengan calon BN . Mantan hakim ini juga pernah berada dalam Parlimen pada tahun 2013 -2018, malah disebut oleh Tuan Guru Presiden PAS , tokoh yang banyak menyuarakan kebaikan undang-undang Islam. Abe Zul adalah anak tempatan yang sangat piawai, disenangi oleh pengundi dan anak muda. 

Gelombang hijau kebangkitan pengundi Besut kali ini sangat luarbiasa, bergelombang hebat daripada Pulau Perhentian N01 sehingga ke kawasan perdesaan keruak. Tiada yang mustahil bagi sang Penggenggam nasib untuk meruak hati pengundi kali ini. Doakan teman-teman semua, di samping membantu kami di daerah agrarian ini, juga membantu PAS Terengganu mengekalkan penguasaan Wisma Darul Iman dalam PRN pada tahun hadapan. Besut akan memadam mitos sebagai kubu Umno Terengganu!


( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Penyelaras Parlimen Besut)

Ulasan