Pasar Chabang Tiga Antara Tumpuan Datuk Amzad

 


Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU – Pembaikan keadaan infrastruktur Pasar Chabang Tiga merupakan antara yang dititik beratkan oleh calon PAS Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Amzad Hashim.

Menurut beliau, dari semasa ke semasa sudah tentu akan ada masalah terutamanya apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu banyak perkara yang terbengkalai dan perlu diselenggara. 

 “Antara perkara yang perlu ditekankan untuk pembaikan ialah dari sudut sistem saliran di sini.

“Saya rasa kita boleh lihat beberapa perkara untuk menyelesaikan masalah ini seperti membaik pulih infrastruktur dan kaedah pemberian kontraktor,” kata beliau dalam rancangan Nasi Dagang Teh Tarik yang bersiaran pada 8 November.

Selain itu, beliau juga berhasrat untuk membaik pulih keadaan bumbung pasar tersebut yang telah bocor. 


“Untuk membaiki keadaan bumbung ini memerlukan peruntukan yang besar namun insyaAllah perkara ini boleh diusahakan,” katanya lagi. 

Antara aspek lain yang dinyatakan untuk ditambah baik ialah kebersihan dan kecerian pasar.

Tambah beliau, sewaktu menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu dahulu terdapat beberapa sumbangan telah disalurkan untuk kebajikan para peniaga pasar itu.

“Sebelum ini saya telah sumbangkan untuk pembinaan surau di situ dan apabila para peniaga mengadu memerlukan pejabat, saya sumbangkan sebuah kabin untuk dijadikan pejabat buat mereka,” ujar beliau. 

Beliau mengulas berkenaan isu tersebut dalam rancangan itu selepas mengadakan kunjungan ke Pasar Chabang Tiga pagi tadi bagi meninjau keadaan pasar tersebut di samping menyantuni para peniaga di situ.

Ulasan