Pengalaman Jadikan PAS Pakar Dalam Pemerintahan


KUALA TERENGGANU – Pengalaman empat tahun Parti Islam Selamaysia (PAS) mentadbir kerajaan menjadikan pemerintahan lebih matang dengan kepakaran yang sentiasa bertambah.

Calon Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Amzad Hashim berkata, apabila sudah biasa berkhidmat dengan rakyat maka sudah menjadi kebiasaan berdepan dengan jadual padat melalui kempen, kerja dan sebagainya.

Katanya, ianya adalah tanggungjawab sebagai seorang pemimpin tugasnya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Sebarang kerja tidak boleh ditangguh kerana masalah akan berterusan cuma lakukannya sehabis baik dengan menyelesaikan sesuatu masalah dengan segera.

“Suatu perkara yang dilakukan pandanglah ianya dengan positif dan mudah demi kepentingan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Siaran Langsung Sembang Nasi Dagang Teh Tarik di Laman Facebook KTTV pada hari ini.

Tambah Amzad, melalui penerimaan masyarakat terhadapnya, rata-rata memberikan respon yang baik serta berpuas hati dengan layanan dan bantuan yang diberikan.

Katanya, pandanglah rakyat dengan pandangan kasih dan ehsan serta ketepikan soal berkait dengan perbezaan parti dalam membuat kerja.

“Nikmat yang sukar digambarkan apabila rakyat mendapat kepuasan melalui pemberian kita justeru menjadikan kita lebih semangat untuk menjalankan tugas sebagai pemimpin,” tambahnya lagi.

Ulasan