Rosol Tidak Layan Politik Murahan


HULU TERENGGANU - “ Saya anggap itu adalah provokasi politik yang sengaja direka-reka untuk melemahkan keperibadian  dan mengeruhkan hubungan baik saya dengan kepimpinan dan penyokong PAS”.

Demikian reaksi calon Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid terhadap tuduhan bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh yang disifatkannya timbul kerana tiada modal kempen untuk menyerang keperibadiannya.

Katanya, beliau tetap menghormati Idris sebagai seorang sifu yang banyak mengajarnya bagaimana untuk menjadi pemimpin dan menguruskan kerjaya di pentas politik, namun tuduhan dia masih berjiwa UMNO adalah satu rekaan yang dicipta sebagai modal kempen.

“Saya tetap menghormati beliau sebagai seorang yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya mengenai politik, namun untuk mengatakan saya berjiwa UMNO walaupun bersama PAS, itu hanyalah satu provokasi politik.

“Sekarang ini saya nampak pihak lawan tiada isu untuk menyerang dan melemahkan saya sama ada rasuah atau salah guna kuasa, tak bermoral atau main projek.

“Setakat ini Alhamdulillah sejak menceburkan diri dalam politik pada 1999, saya tidak terpalit sebarang isu seumpamanya. Jadi parti lawan terpaksa mencari-cari isu untuk melemahkan saya,” katanya selepas menemui pengundi di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di sini, hari ini.

Rosol berkata, Idris juga antara individu yang maklum dan merestui penghijrahannya menyertai Bersatu selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa. 

"Yang penting saya berhijrah dari satu kelompok atau kenderaan yang dipimpin oleh mereka yang tidak amanah kepada satu kelompok yang lebih baik dan amanah. Jadi penghijrahan ke arah yang lebih baik itu dianjurkan oleh agama," katanya. 

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan jentera parti yang memberikan sokongan kuat bagi memastikan kemenangan PN pada PRU-15.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kempen untuk PRU-15, Rosol berkata, sejak bermulanya tempoh kempen beliau sudah menemui 50 peratus pengundi di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu meliputi Ajil, Kuala Berang, Manir dan Telemong. 

"Alhamdulillah, sepanjang saya turun berkempen  termasuk ke lubuk UMNO sokongan amat kuat dan saya lihat mereka bersama dengan saya, insyaAllah. 

"Saya nampak akar umbi  menyokong kesepaduan dan menunjukkan kebersamaan yang jitu terhadap Perikatan Nasional (PN) dan ini penting kepada kita untuk hadapi PRU-15.

"Dengan sokongan dan semangat yang ditunjukkan peringkat akar umbi termasuk mereka yang di atas pagar dan tidak berparti, mereka semuanya mengharapkan perpaduan dan kesatuan parti-parti Melayu. Jadi itu mesej yang saya terima setakat ini. 

"Rata-rata anak muda yang saya temui juga faham dengan  usaha PN memerangi rasuah dan menubuhkan kerajaan yang bersih dan stabil. 

"Bagi mereka itu (rasuah) satu perkara yang perlu dihentikan segera dengan menolak parti yang bersahabat atau bersama dengan mereka yang tidak amanah dan mereka yakin negara akan lebih berjaya dengan pimpinan parti yang prihatin, bersih dan stabil," katanya.

Ulasan