Salah Guna Kuasa Libatkan Mat Said Terbongkar


KUALA TERENGGANU - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, didakwa terlibat dengan salah guna kuasa ketika menjadi Menteri Besar negeri ini. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, Ahmad Said melalui anak syarikat Terengganu Inc. EPIC telah menganugerahkan kontrak bernilai RM110 juta kepada Kondisi Utama. 

Menurut beliau, ia adalah sebuah syarikat berpengkalan luar daripada Terengganu yang mempunyai modal berbayar RM2 (Dua Ringgit Malaysia Sahaja) dan mempunyai dua orang Lembaga Pengarah, Gurjeet Singh dan Amarjeet Singh.

“Kontrak itu telah dilaksanakan dalam bentuk surat yang dikeluarkan oleh anak syarikat kepada Terengganu Incorporated iaitu Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan ditandatangani oleh CEO EPIC ketika itu, Ramli Shahul Hameed.

“Kondisi Utama gagal melaksanakan dan berakhir dengan EPIC terpaksa berdepan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan yang memutuskan EPIC dikenakan bayar kepada Baltic Agency, RM55 juta ditambah lagi hampir RM30 juta jumlah faedah kepada syarikat Baltic Agency yang berpangkalan di Singapura,” jelasnya.


Beliau yang juga calon PAS Kuala Terengganu berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan I-Mahasiswa bertempat di Dewan Kondo Rakyat Kuala Ibai semalam.

Tambah Amzad, puncanya kerana orang kepercayaan Dato’ Seri Ahmad Said iaitu Ramli Shahul yang merupakan CEO EPIC ketika itu secara misteri menandatangani ‘blank letter’ dengan melantik Baltic Agency sebagai kontraktor pelaksana. 

Kes ini diputuskan di Mahkamah Persekutuan sebelum PAS menang PRU14 serta mengambil alih kerajaan Terengganu dan kes ini tidak lagi boleh dirayu setelah melalui proses di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran PAS, rundingan dengan Baltic Agency dibuat sehingga penyelesaian sepenuhnya dibuat pada 2021 dengan mengurangkan jumlah bayaran dari RM83 juta yang diputuskan Mahkamah Persekutuan kepada RM42 juta yg diselesaikan secara ansuran.

“Hari ini EPIC kembali kuat dengan kecairan tunai sekitar RM100 juta serta Mantan CEO EPIC, Ramli Sahul Hamid telah secara salah mengambil duit EPIC sebanyak RM1.7 juta untuk diri sendiri tanpa prosedur yang betul.

“Kes ini dibicarakan di Mahkamah dan berakhir dengan Ramli Sahul Hamid diarahkan memulangkan jumlah RM1.7 juta ini kepada EPIC,” katanya.

Mengulas lanjut, sebagai Pengerusi UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said juga telah menamakan Ramli Shahul Hameed sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman menggantikan Ahli Parlimen Kemaman ketika itu, Tuan Che Alias Hamid.

“Sedangkan Ramli Shahul ada dua kes yang telah melalui proses perbicaraan di mahkamah melibatkan EPIC,” ujarnya.


Ulasan