Tolak BN, Zahid Halang Perpaduan Ummah


KUALA TERENGGANU : Rakyat Malaysia perlu menghalang usaha menggagalkan perjuangan penyatuan ummah dipelopori oleh UMNO dengan menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU15) nanti.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata ini kerana Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu melihat penyatuan ummah itu terbentuk di kalangan parti-parti Melayu Islam dengan mencantas mereka yang cenderung ke arah itu sebagai calon pilihan raya.

“Siapa sahaja yang mirip kepada perpaduan ummah dicantas oleh Zahid Hamidi sebab Zahid tak mahu ada sebarang usaha untuk menyatupadukan ummah dan di dalam kepalanya sekarang ini dia ada jajaran baru, sedang diusahakan dengan Anwar Ibrahim,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Markas Induk PRU15 DUN Bandar di sini semalam.


Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Terengganu, Badrolhisham Mohamed @ Shafie.

Ahmad Amzad yang jugak Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, berkata usaha jajaran baharu itu dipercayai akan mengheret DAP turut serta dan ini membahayakan negara.

Ini kerana katanya kegagalan Pakatan Harapan (PH) dengan penyertaan DAP dalam kerajaan Persekutuan yang lalu cukup memberi pengajaran kepada rakyat dan situasi itu  menyebabkan berlaku ketidakstabilan pentadbiran.

“Rakyat tidak perlu mengulangi lagi kewujudan DAP dalam pentadbiran dan cukuplah kegagalan itu dibuat selama 22 bulan pemerintahan PH,” ujarnya.

Ulasan