Wan Hassan Jumpa Lebih 80 Peratus Pengundi


KUALA TERENGGANU, 15 November- Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli sudah menemui lebih 80 peratus pengundi di kawasan itu dan tekad meneruskan kempen tiga hari terakhir dengan memberi penerangan mengenai manifesto yang dibawanya untuk penduduk kawasan terbabit.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut berkata, sambutan yang diterima amat baik dan berharap pihaknya terus peluang oleh pengundi untuk berkhidmat dan menabur bakti. 

“Tumpuan kempen yang berbaki tiga hari ini lebih kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi dan sebahagian kawasan Felda di Paka.

“Ianya selepas kita melihat dan mengambil kira laporan yang disampaikan dan juga bertindak atas respon dan maklumat yang diterima,” ujarnya ketika hubungi pemberita hari ini.

Katanya, pendekatan untuk berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini lebih agresif memandangkan tempoh untuk berkempen hanya tinggal lebih kurang 72 jam sahaja lagi.

“Saya lebih selesa bersua muka dengan pengundi, di DUN lain hanya tinggal sentuhan terakhir tetapi di Bukit Besi dan Paka perlu kerja lebih untuk tarik pengundi,” ujarnya.

PRU15 Sabtu ini bakal menyaksikan beliau yang mewakili parti PN-PAS menentang calon Barisan Nasional ( BN), Nurhisham Johari, Pakatan Harapan (PH), Mohasdjone @ Mohd Johari Mohamad, Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Noraisah Hasan dan Bebas, Ghazali Ismail.

Ulasan