Alex Kekal Berjuang Bersama DHPP


KUALA TERENGGANU - Anggota Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, Alex Chan Foo Yew membuat keputusan, kekal berjuang bersama organisasi 'non-muslim' PAS itu. 

Beliau berikrar akan cuba buat yang lebih baik pada masa akan datang. 

Melalui laman sosialnya, beliau kesal dan memohon maaf atas catatan beliau sebelum ini. 

"Saya nak tarik balik apa yang saya 'post' pada 13 Disember yang lalu, nak terang nak jelas nak cari alasan apa pun tak guna dah benda jadi dah, 

"ambe minta maaf kepada semua ahli PAS yang dikasihi, lepas bincang dengan Ketua DHPP Terengganu Dr Bala, saya membuat keputusan kekal," jelasnya. 

Menurutnya, beliau hanya insan biasa banyak kelemahan menyebabkan melakukan kesilapan dan mengalami masa yang menyulitkan. 

Katanya, dalam tempoh yang sukar itu, beliau seolah-olah  hilang hala tuju, umpama "terjatuh dalam lubang yang gelap". 

"tapi Dr Bala kata, ambillah lilin ini ada sedikit cahaya, semoga cahaya lilin ini dapat bawa saya ke arah cahaya bulan yang cerah,

"insyaallah saya akan cuba bangkit semula, perkara gini sepatutnya tidak berlaku, saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku minta banyak, " kata beliau. 


Ulasan