Jangan Tunggu Air Dalam Baru Pindah


Oleh ; Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diseru agar segera berpindah ke tempat yang lebih selamat dan jangan tunggu air naik mendadak baru tergesa-gesa beranjak dari kediaman masing-masing.

Pengarah Khidmat Malaysia Terengganu, YB Haji Hanafiah Mat berkata, ia sedikit sebanyak mempermudahkan urusan pihak penyelamat menyelamatkan mangsa yang tersangkut banjir.

"Pendek kata bila berlaku air naik saya nasihatkan jangan tunggu lama sangat, jangan tunggu sampai air naik tinggi.

"Saya mintak semua masyarakat bila nampak je air tinggi sikit keluarlah ramai-ramai berpindah supaya tidak menyusahkan sama ada Khidmat Malaysia Terengganu, bomba, polis ataupun agensi menyelamat," jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga. Dan Perpaduan Nasional berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.

Menurutnya, Khidmat Malaysia Terengganu sudah bersiap siaga sejak dua bulan lepas dimana latihan fizikal dan lisan khususnya diadakan di semua peringkat.

"Segala persiapan seperti perahu, enjin dan juga persiapan barang-barang lain sudah pun berada di tahap yang sangat baik.

"Dan kita mengharapkan semua sukarelawan yang berada di bawah Khidmat Malaysia bawah 4x4, Radio Amatur Jabatan Amal untuk berada dalam keadaan bersiap siaga bilamana mereka dipanggil untuk bertugas, mereka boleh turun pada bila-bila masa," tegasnya.

Beliau menambah, semua agensi sama ada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak kerajaan dan sukarelawan bekerjasama membantu pada saat ini.

"Mereka juga akan menjadi sukarelawan ataupun pembantu kepada agensi-agensi kerajaan yang telah pun kita gabungkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Daerah di peringkat daerah masing-masing.

"Jadi saya rasa jika berlaku banjir mereka dapat saling tolong-menolong di antara agensi kerajaan dan khidmat Malaysia Terengganu.

"Yang paling penting sekali ialah kalau berlaku banjir besar di mana telekomunisasi tak dapat digunakan radio amatur sudah menyediakan walkie talkie dan menara di berapa tempat yang dijangka berlaku banjir besar," ujar Hanafiah lagi.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan berkaitan dengan bekalan makanan yang akan disalurkan kepada mangsa terlibat banjir.

"Semua barang makanan telah disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hampir tiga minggu dan barang-barang semua sudah berada di pangkalan hadapan. 

"Apabila mereka terkena banjir mereka berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jadi kita sudah sediakan barang-barang bekalan.

"Saya rasa tak timbul mana soal makan begitu juga dengan khemah dan tempat tidur pun sudah disediakan," katanya.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkenaan laporan bencana banjir negeri Terengganu pada jam 11.20 pagi ini, terdapat dua pusat dibuka.

Dua PPS dibuka di daerah Kuala Terengganu iaitu SK. Chendering, Sekolah Kebangsaab Atal Tol. Jumlah keluarga yang terlibat ialah 13 orang Dan jumlah mangsa seramai 50 orang.

Ulasan