Muslimat Kuala Nerus Ziarah 80 Keluarga Mangsa Banjir


KUALA NERUS - Seramai 80 keluarga mangsa banjir telah diziarahi oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus bermula hari selasa sehingga hari ini. 

Ketua Dewan Muslimat PAS Kuala Nerus, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, usaha ini adalah untuk menyantuni mangsa banjir di 4 dun dalam Parlimen Kuala Nerus yang memerlukan perhatian dan bantuan barangan untuk meringankan beban mereka.

“Tujuan ziarah ini adalah untuk Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Nerus (DMPKKN) turun menyantuni mangsa banjir di 4 Dun, bermula Dun Tepoh (20/12/2022), kemudian pagi ini (semalam) di Dun Buluh Gading dan petang di Dun Seberang Takir serta Bukit Tunggal akan diziarahi pada esok (hari ini), ” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, selain dari turun menyantuni, DMPKKN turut mengagihkan sedikit bekalan makanan untuk mangsa.


“Semasa kami turun,bantuan yang dibawa adalah berbentuk barangan makanan kering  dan roti serta air mineral untuk mereka terus dapat makan tanpa perlu masak dalam situasi yang kita tidak jangka sama ada rumah mereka dinaiki air dan menyebabkan mereka tidak mampu untuk keluar mencari bekalan makanan, ” katanya. 

Selain dari itu, DMPPKN turut membuka Tabung Mangsa Banjir Terengganu 2022 bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada pembelian keperluan mangsa banjir.

“Sebaik sahaja berlaku musibah ini, kami terus buka sumbangan berbentuk kewangan ataupun barangan untuk muslimat semua menyumbang sama ada tuala, kain batik, selimut dan barangan lain yang mungkin belum dipakai untuk disumbangkan kepada mangsa banjir, ” kata beliau lagi. 

Terdahulu, DMPKKN telah mengadakan aktiviti ziarah rumah ke rumah tidak kira dimusim bencana atau tidak sebagai tanda kecaknaan mereka kepada wanita dan muslimat dalam Parlimen Kuala Nerus

Ulasan