Tadbir Dengan Adil Dan Tidak Diskriminasi Projek Negeri


Oleh : Rohayati Ripin

SETIU – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mentadbir dengan adil dan tidak ada diskriminasi kepada kerajaan negeri Terengganu berkenaan projek-projek diluluskan diperingkat pusat dan tidak menyekat aktiviti pembangunan dan yang sedang dilaksanakan ataupun hendak dijalankan pada masa akan datang. 

Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, YB Ustaz Ariffin Deraman berkata, prinsip semak dan imbang (check and balance) perlu wujud dalam pentadbiran dan ia merupakan satu cabaran sangat besar kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini.

“Saya harap tidak berlaku ‘politician’ dalam perancangan pelancongan terutama Terengganu menjadi tumpuan dari seluruh negara bahkan dunia.

“Peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Pelancongan Malaysia. Mantan Menteri Pelancongan dulu tiga empat kali turun dan beliau menyatakan bahawa sangat suka negeri Terengganu,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri berkata demikian selepas program Kem Pemerkasaan Unit Tubuh di Peladang Resort Setiu, pada semalam.

Justeru itu, beliau berharap dengan perlantikan Menteri baharu dapat memberi fokus kepada negeri Terengganu walaupun berbeza politik untuk kemajuan negara dan pelancongan Malaysia dan Terengganu.

Sementara itu, PAS kecewa tidak dapat mentadbir di peringkat pusat tetapi ia menjadi satu cabaran dan bergerak sebagai pembangkang yang terbaik dalam pemeritahan demi rakyat.

Beliau turut mengulas mengenai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri pada tahun hadapan bahawa PAS Terengganu siap siaga untuk menghadapi saat itu.

“Insya Allah kita bersedia bila-bila masa, kita tunggu arahan kalau pimpinan kata 'on' bila masa sudah bersedia,” tambah beliau lagi.

Ulasan