PAS Unggul Berjuang Seluruh Aspek


DUNGUN - PAS adalah parti  Islam terunggul di Malaysia yang berjuang  di dalam keseluruhan aspek dan bidang kehidupan manusia. 

Pengarah Pilihan Raya PAS Dungun, Wan Adib Wan Zain berkata ini dapat dibuktikan dengan  organisasi - organisasi dibentuk dalam parti itu mencakupi segala kepeluan. 

"Kita tak nafikan ada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam tetapi ini tak boleh, itu tak boleh, tetapi tidak kepada PAS, 

" Umno yang meminda perlembagaan mereka dengan meletakkan Islam sebagai agenda perjuangan tetapi masih  banyak kelompongannya antaranya dia tidak boleh memperjuangkan ketelusan dalam pentadbiran negara," jelasnya. 

Wan Adib berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian PAS Pilihanku 4.0 Peringkat DUN Rantau Abang yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini pada 6 Januari lalu. 

Dan  perjuangan parti gerakan Islam itu juga, tambahnya lagi, menjadi landasan untuk melakukan amal soleh, salah satunya mencari ahli parti. 


"PAS menyediakan ruang yang cukup luas untuk beramal soleh,  kalau bersama dengan PAS, insya-Allah berpahala," katanya. 

Majlis  itu telah dihadiri oleh seramai 141 orang  ahli jawatankuasanya Dewan Harian Cawangan - Cawangan di DUN berkenaan.

Gimik pelancaran ialah penyerahan kain rentang mengajak masyarakat menjadi ahli PAS untuk dipasang di setiap cawangan dalam DUN tersebut. 

Sebelum itu ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengarah Majlis Tindakan DUN Rantau Abang, Cikgu Alias Harun berharap dengan suasana Pilihan Raya Umum ke 15(PRU15) baru sahaja berakhir menjadi satu faktor yang dapat membantu memudahkan usaha mengajak penyokong - penyokong bersama menjadi ahli. 

"Dengan gelombang anak muda yang pulang mengundi dengan memberi majoriti yang berganda kepada calon kita, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli sebagai Ahli Parlimen, penyokong yang selama ini menyokong kita tetapi rupa - rupanya belum menjadi ahli, jadi mereka inilah yang perlu didekati dan mengajak untuk menjadi ahli PAS,", ujarnya. 

Sehubungan dengan itu, Cikgu Alias juga menyeru sokongan tersebut diteruskan di Pilihan Raya Negeri Terengganu yang akan diadakan bila - bila masa sahaja. 

" Kerajaan PAS Negeri Terengganu sudah buat yang terbaik, tiada alasan untuk tidak memberi undi kepada PAS nanti," katanya ketika dihubungi semalam.

Ulasan