Ratusan Bekas Ahli Umno Sertai PAS


Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan syukur kerana ratusan bekas ahli Umno telah menyertai PAS.

"Alhamdulillah, PAS telah menerima ratusan permohonan menjadi ahli PAS daripada mantan pemimpin UMNO dan tokoh masyarakat di Negeri Sembilan hari ini.

"Saya mengucapkan selamat datang kepada mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Seri Profesor Dr. Mohammad Fairus bin Khairudin, mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin dan  penyanyi Dayangku Intan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, serahan sijil keahlian PAS itu telah dibuat tengah hari ini, Sabtu, 22 Januari, sempena program Semarak gelombang Rakyat bersama Perikatan Nasional Negeri Sembilan.

"Mudah-mudahan lebih ramai pemimpin dan ahli UMNO serta tokoh-tokoh masyarakat yang akan mengikut jejak langkah mereka." tambahnya.


Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Tionghoa.

"Islam sangat menghormati dan menjaga hubungan antara kaum serta berlaku adil terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Islam memandang kewujudan kepelbagaian kaum dan bangsa di Malaysia sebagai satu perkara positif berkonsepkan masyarakat majmuk yang berasaskan kepada konsep Negara Madinah di zaman Nabi SAW,

"Oleh itu, saya mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada masyarakat Cina khususnya kaum Tionghua yang hidup bersama kita di Malaysia." jelas beliau.

Katanya, setiap bangsa mempunyai kelebihan dan kepakaran tersendiri yang boleh dimanfaatkan dengan baik demi membangunkan Malaysia.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak bersama menjalinkan hubungan yang erat antara sesama keluarga, sanak saudara dan seluruh kaum. 

"Kerukunan sebegini sangat penting bagi membina sebuah masyarakat yang harmoni dan negara yang stabil."  kata beliau lagi.

Ulasan