Tiga Dekad Menabur Bakti Di Madrasah


KUALA NERUS - Walau imbuhan sebagai seorang guru di Madrasah tidak setanding seperti di Sekolah-sekolah lain, tapi ianya bukanlah menjadi kayu ukur bagi dua orang pesara guru dari madrasah Darul Taqwa Batu Enam untuk menabur bakti selama tiga dekad lamanya. 

Pesara Guru, Ustaz Taib bin Kassim dan Ustazah Maimun binti Ismail telah dirai penuh gemilang di Majlis Persaraan Guru bertempat di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Kuala Nerus pada selasa lalu.

Mudir Madrasah, Ustaz Hazha bin Rejab berkata, majlis tersebut merupakan majlis yang penuh istimewa bagi warga DAR kerana ianya pertama kali diadakan bermula penubuhan madrasah tersebut 3 dekad lalu.

“Bagi orang lain, majlis persaraan ini mungkin majlis biasa , tetapi bagi pihak DAR, majlis ini merupakan majlis istimewa kerana pertama kali diadakan selepas 30 tahun usia DAR dan hari ini kita ingin meraikan dua orang guru yang telah berkhidmat penuh setia dalam mendidik anak-anak,” katanya.

Beliau turut berterima kasih  atas kerjasama dari pihak pimpinan PAS Kawasan Kuala Nerus, kerana akhirnya majlis yang sudah lama dinantikan berjaya dijayakan dengan baik pada hari tersebut.

“Terima kasih kepada YDP Pas Kawasan Kuala Nerus dan para pimpinan yang lain kerana sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan sebelum ini dan juga membantu dalam menjayakan program pada hari ini, sekaligus melihatkan kecaknaan mereka dalam pertubuhan DAR dari dulu hingga kini,” tambah beliau.


Pesara guru, Ustaz Taib dalam ucapannya berkata,, sebagai seorang pendidik, perlunya ada kesungguhan yang tinggi dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar secara berterusan.

“Sebagai seorang pendidik, kita perlulah menjadi pendidik yang bersungguh-sungguh dan berterusan dalam beramal kerana ianya sebaik-baik perkara yang dinilai disisi Allah,” jelasnya.

Beliau yang telah menabur bakti selama 30 tahun di madrasah tersebut berkata, imbuhan yang disediakan bukanlah menjadi tujuan utama kerana beliau lebih berharap kepada kejayaan dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik bahkan sanggup bersusah payah demi melahirkan anak didik yang berpengetahuan.

“Saya terlalu sayang kepada madrasah ini kerana dapat banyak rezeki menyampaikan ilmu kepada murid, bila mereka berjaya dalam apa-apa bidang, hasilnya tetap kita dapat sebagai rezeki akhirat,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, pada awalnya bangunan sekolah bukanlah seperti hari ini dan selepas mendapat bantuan dari para pimpinan dan orang ramai, bangunan sekolah dapat didirikan seperti hari ini.

Seorang lagi pesara guru, Ustazah Maimin Ismail turut menzahirkan rasa syukur dan tidak terlintas di fikiran beliau akan diraikan sebegitu meriah pada program tersebutt.


“terima kasih tidak terhingga kepada pihak Madrasah dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Saya tidak pernah terfikir akan diraikan seperti ini dan rasa sangat bersyukur kepada semua,” kata beliau.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menasihati para guru yang hadir agar ikhlas dalam menyampaikan ilmu pengetahuan serta yakin dengan janji-janji Allah kepada hambaNYA.

“Ikhlas kan diri kerana Allah dalam menyampaikan ilmu, perlu adanya sifat sayang dan minat dalam mendidik anak-anak bukan melihat imbuhan yang diberikan,”

“Yakinlah dengan janji-janji Allah jika kita menolong Allah dalam agamaNYA,” katanya lagi.

Sebagai tanda penghargaan cenderahati berupa wang tunai bernilai rm10,000.00 seorang diserahkan kepada mereka  atas bakti yang dicurahkan selama ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, YDP PAS Kawasan, Cikgu Shukrimun bin Shamsudin bersama pimpinan PAS Kawasan serta para guru Madrasah darul Taqwa Batu Enam.

Ulasan