Kerajaan Campuran PHBN Yang Tidak Madani


Perkataan madani dirujuk kepada negara Madinah yang ditunjuk teladannya oleh Rasulullah SAW. Pemerintahannya yang berlaku adil kepada semua anggota masyarakat majmuk termasuk terhadap musuh yang menceroboh dan melampau, menjadikan Madinah terus bertahan, malah kerajaannya tidak jatuh dengan kewafatan Rasulullah SAW. 

Suasana dan keadaan tersebut dapat diteruskan selepas kewafatan Baginda SAW dan berpanjangan sehingga beberapa abad dengan kejayaan mencipta Tamadun Islam (Hadarah Islamiah) yang diberikan sumbangan oleh semua kaum. Tamadun Islam berjaya dibentuk melalui perkongsian ilmu dan kemakmuran, di samping pengaruhnya yang masih lagi dirasai sehingga zaman kini.

Para pemimpin yang bertali arus selepas itu, dapat melaksanakan tugas apabila mereka menjadi pemimpin melalui pemilihan yang berpandukan sabda Rasulullah SAW:

‌الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Para pemimpin itu daripada Quraisy.” (Riwayat Ahmad, no. 12307)

Hadis ini mempunyai banyak riwayat dan ia sememangnya berkait dengan politik yang berkonsepkan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syari‘ah.

Ibn Khaldun RH, seorang tokoh ilmuwan fiqh politik Islam menghuraikan konsep masyarakat madani secara khusus dalam karyanya, al-Muqaddimah. Beliau menyebut bahawa hadis di atas sangat berkait dengan situasi dan realiti masyarakat yang sentiasa berubah-ubah bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang bermasyarakat madani. Ia juga menunjukkan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam ilmu politik. 

Huraian tentang perkara tersebut dilihat melalui kabilah Quraisy yang mendominasi penduduk Arab khususnya penganut Islam, sehingga turut mempengaruhi mereka yang masih belum menerima Islam. Maka, konsep kepimpinan Islam yang berpengaruh daripada kalangan Quraisy pada masa itu menjadi hukum yang ditegaskan oleh para fuqaha’, melainkan pendapat mazhab Khawarij dan Muktazilah yang tidak muktabar.

Kabilah Quraisy yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah para Muhajirin daripada kalangan mereka yang terawal memperjuangkan Islam bersama Rasulullah SAW. Mereka beriman, berilmu, dan berakhlak hasil daripada tarbiah oleh Rasulullah SAW sebagai pemimpin paling berintegriti, dengan tujuan untuk membangun negara Madinah yang bermasyarakat madani dan majmuk. 

Tujuannya supaya kepimpinan Islam dapat menguasai masyarakat dengan kekuatan pengaruh, ketinggian ilmu, integriti, dan berkonsepkan keadilan kepada semua. Kepimpinan Islam dihormati dan ditaati kerana keadilannya mengikut siasah syar‘iyyah, bukan kerana ditakuti akan kezalimannya. 

Dari sudut pelaksanaannya pula mencapai maqasid al-syari‘ah yang dinyatakan oleh Islam bagi memelihara agama, nyawa, akal, maruah, zuriat keturunan, dan harta. Ia berasaskan pendidikan dan ilmu Islam yang sempurna serta konsep ilmu yang terbuka kepada semua anggota masyarakat majmuk, selain kehebatan undang-undang syariat yang mendidik, bukan mendera dan menyeksa.

Apabila bangsa lain menganut Islam dan mendominasi umat Islam, maka setelah itu melahirkan para pemimpin yang berilmu dan bersyakhsiah tinggi. Seterusnya, mereka pula mengambil alih kepimpinan negara daripada bangsa Arab yang lemah kerana kelekaannya. Apa yang berlaku ini menepati firman Allah SWT:

﴿...وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“…Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Kepimpinan negara Islam silih ganti beralih daripada bangsa Arab kepada bangsa-bangsa lain seperti Kurdi, Mongol, Turki, dan lain-lain bangsa yang beriman, berilmu, dan berakhlak. Seterusnya, bangsa itu pula mendominasi penduduk dalam negara Islam.

Pakatan Harapan (PH) yang memimpin kerajaan campuran sekarang, ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam (seramai 50 orang bukan Muslim dan 31 orang Muslim). Mereka tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti untuk mendominasi penduduk negara ini sebagai majoriti berkonsepkan asas yang disebutkan dalam hadis sebelum ini. Di samping dinamakan kerajaan campuran itu dengan kerajaan perpaduan walaupun penubuhannya menipu rakyat dan seluruh dunia. Meletakkan jenama ‘Kerajaan Perpaduan’ adalah menyalahi istilah ilmu politik iaitu kerajaan yang tiada pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil laksana nyamuk.

Selain itu, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan oportunis. Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme, dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya. Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri madani yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan.

Tambahan pula, mereka melantik kepimpinan negara daripada kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu dengan sokongan bukan Muslim, bukannya sokongan kaum Muslim yang mendominasi penduduk negara. Calon pemimpinnya berpindah-randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk.

Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka. Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka.

Ibn Khaldun menegaskan konsep madani dalam tulisannya yang sangat bermakna:

الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ.

“Manusia itu bersifat madani secara tabii.” (Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun [al-Muqaddimah], ms. 54)

Beliau menghuraikan konsep pembangunan insan yang sebenar bagi memulihkan semula negara yang rosak atau runtuh ialah melalui kebangkitan generasi baharu dan luar bandar yang bersih daripada kejahatan salah laku dan kelekaan yang menyebabkan jatuhnya kerajaan. Tujuannya adalah untuk melakukan islah supaya bertukar keadaan, daripada jatuh kerana salah laku kepada perkara yang betul dan sahih, bukannya sekadar bertukar tangan yang membawa keburukan yang sama.


Allah SWT berfirman:

﴿...إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ١١﴾

“...Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah al-Ra‘d: 11)

Demikianlah apabila niat mereka hanya mahu kepada pangkat dan jawatan sahaja, bukan kerana Allah, maka Allah membiarkan mereka itu merosakkan diri sendiri. Rasulullah SAW juga melarang pelantikan orang yang bernafsu rakus untuk meminta menjadi pemimpin kerana perbuatan tersebut menjauhkan hidayah dan pertolongan-Nya.

Allah SWT menguji manusia kerana mereka diberikan akal, kemampuan ilmu, dan pengalaman untuk mengambil iktibar. Mereka diuji dalam kehidupan dunia, termasuk dalam berkerajaan bagi mentadbir urusan dunia sebelum dihisab pada Hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT:

﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah yang dalam tangan-Nya (genggaman kekuasaan-Nya) sahaja berada segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Dialah Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” (Surah al-Mulk: 1–2)

Di sini menunjukkan bahawa mengambil alih kerajaan bukan sekadar mengambil tempat bagi merebut jawatan dengan keistimewaannya. Namun, kewajipan yang sepatutnya ialah menunaikan amanah Allah SWT bagi melakukan tashih (pembetulan) terhadap kerosakan yang berlaku, bukan berebut jawatan dan mengekalkan kerosakan atau menambah keburukannya.

Pada masa yang sama, bukan pula berlaku zalim terhadap mana-mana pihak yang tidak menyokong mereka dengan menyekat peruntukan yang diwajibkan kepada negeri-negeri dan ahli-ahli Parlimen, termasuk menyusahkan pegawai-pegawai kerajaan yang dikira tidak menyokong mereka. Tindakan demikian adalah sungguh tidak bertamadun, tidak bermoral agama, dan tidak berkonsepkan demokrasi yang sebenar, malah menjadikan cara yang salah bagi mengekalkan kuasanya.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, pengundi muda menolak Kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana penyakit yang dihidapinya, kemudian mereka salah mengundi kerana menerima tawaran bohong secara spontan daripada PH. Selepas itu, PH pula ditumbangkan kerana kerapuhannya bersama janji bohong dan manifesto menipu yang dikatakan bukan kitab suci. Kerajaannya tidak mampu melakukan perubahan seperti yang dijanjikan kerana sibuk dengan masalah dalaman, khususnya masalah kepimpinan yang tidak berintegriti.

Golongan pengundi muda dan luar bandar menerima Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 kerana tema “Bersih dan Stabil”. Kerajaan PN yang ditubuhkan selepas kejatuhan kerajaan PH telah menunjukkan bukti perubahan, walaupun dalam masa yang singkat. BN ditolak lebih terkebelakang bersama pengundi saluran satu, manakala PH pula mendapat undi bukan Islam di kawasan bandar yang mewah dan mempunyai kemudahan hidup yang tidak mendominasi penduduk secara keseluruhannya.

Tiba-tiba, kebangkitan generasi muda dan luar bandar itu dikecewakan dengan kerajaan campuran BN yang ditolak dan PH yang juga ditolak kerana tidak mendominasi rakyat yang sebenar. Termasuklah tidak menjadi teras perubahan politik bersifat madani yang diolah oleh Ibn Khaldun.

Keadaan ini menunjukkan berlaku perubahan yang lebih buruk; daripada BN yang dahulunya berpenyakit kepada PH yang lebih parah dengan pelbagai jenis penyakitnya. Apabila berlaku campuran dua kumpulan berpenyakit yang merosakkan perubahan dan menjadikannya lebih buruk, maka keadaan ini menunjukkan bahawa perjuangan menyelamatkan rakyat dan negara belum selesai.

Akhirnya, wujud keadaan laksana menanam pokok yang dikelilingi musuh daripada kalangan makhluk perosak. Walaupun sudah tumbuh dan berbunga, musim bunganya tidak mendatangkan hasil kerana dirosakkan oleh musuh sekiranya terus dibiarkan. Janganlah kita menerima nasib yang sama sebagaimana ‘Arab Spring’ yang tidak berbuah dan reformasi di negara jiran yang masih belum selesai.

Kita mengharapkan generasi muda yang membuat perubahan melalui PRU-15 baru-baru ini terus menjunjung konsep madani Ibn Khaldun dengan meneruskan perjuangan yang belum selesai bersama PN.

Allah SWT berjanji akan menolong rakyat yang diperbodohkan, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسۡتُضۡعِفُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَنَجۡعَلَهُمۡ أَئِمَّةٗ وَنَجۡعَلَهُمُ ٱلۡوَٰرِثِينَ٥﴾

“Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang lemah (tertindas dan diperbodohkan) di bumi itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi).” (Surah al-Qasas: 5)

Begitulah al-Quran merakamkan cerita yang berlaku pada zaman dahulu. Cerita al-Quran ialah mukjizat ilmu yang sentiasa berulang dalam perjalanan hidup sepanjang zaman.

Allah SWT juga tidak membiarkan penipuan mereka yang zalim tanpa balasannya. Firman Allah SWT:

﴿وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ٤٧﴾

“Dan sesungguhnya, mereka telah membuat makar (tipu daya) yang besar, padahal di sisi Allah jua (balasan) makar mereka itu. Dan sekalipun makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-ganang dapat lenyap kerananya. (46) Oleh kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” (Surah Ibrahim: 46–47)


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 22 Rajab 1444 / 13 Februari 2023

[Bil: 11 / 2023]

Ulasan