Madani Mengikut Tabii


Rakyat berada dalam kebingungan apabila menerima satu tema baharu yang dimasukkan perkataan ‘madani’ melalui satu ceramah di Putrajaya yang dapat dikuasainya secara luar tabii, bertajuk ‘Membangun Negara Madani – Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’.

Saya tidak tahu pencipta tema baharu ini mengambil rujukan daripada siapa atau dari mana, sama ada dari timur atau barat, daripada Islam atau tidak. Tema tersebut laksana nasi campur yang tidak diketahui ramuannya dan bilakah ia dimasak, sama ada sudah basi ataupun tidak.

Kalangan ilmuwan Barat lebih memaksudkan ‘masyarakat madani’ itu kepada teori yang diterjemahkan dalam bahasanya, iaitu menerusi idea ‘civil society’ yang dibawa oleh Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, Montesquieu, Karl Marx dan lain-lain. Manakala ahli falsafah purba Aristotle pula memperkenalkan idea tersebut melalui karyanya yang berjudul Politics.

Sementara itu, ahli falsafah Islam al-Farabi memperkenalkan istilah ‘al-Madinah al-Fadilah’. Ibn Khaldun RH pula menyebutkan istilah ‘madani’ dalam karya al-Muqaddimah yang terkenal melalui ungkapan berikut:

الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌّ بِالطَّبْعِ.

“Manusia itu madani mengikut tabiinya.” (Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun [al-Muqaddimah], ms. 54)

Huraian yang lebih terperinci ialah berpandukan firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali (bermasyarakat). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Mereka tidak boleh bersendirian dan wajib berhubungan bagi menghasilkan keperluan hidup diri masing-masing. Hatta keperluan sehelai pakaian sahaja pun memerlukan jahitan dan alat-alatnya, serta tenaga manusia yang berbeza kemahiran.

Semua ini memerlukan industri, pertanian, dan perniagaan, menjadikan adanya tempat perhimpunan yang dinamakan sebagai bandar dan pasar. Perkataan bandar dalam bahasa Arab disebut sebagai ‘madinah’. Mereka berhimpun bagi mengumpulkan barangan dan hasil masing-masing untuk diperniagakan. Mereka juga berhimpun dengan menghadirkan diri. Oleh sebab itu, bandar dinamakan ‘hadharah’ daripada perkataan ‘hadir’.

Kegiatan tersebut memerlukan kemajuan ilmu dan hasilnya sehingga mencipta sesuatu yang dinamakan tamadun. Tamadun wajib diurus oleh kumpulan yang menjalankan kegiatan ilmu, ekonomi, dan politik yang bermoral (berakhlak) dalam diri manusia, keluarga, dan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Manusia yang pelbagai ragam perangainya menyebabkan berlakunya pertembungan dan perubahan dalam tamadun dan hadharah. Firman Allah SWT:

﴿…وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَآءَۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّٰلِمِينَ ١٤٠﴾

“...Kami lakukan pergiliran antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dan tidak beriman) dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim” (Surah Ali ‘Imran: 140)

Islam membentuk masyarakat madani melalui penubuhan negara di madinah oleh Rasulullah SAW. Madinah ialah nama baharu yang diubah daripada nama tempat yang asal iaitu Yathrib atau Taibah.

Perubahan nama itu berlaku bagi disesuaikan dengan masyarakat madani mengikut fitrah manusia yang mempunyai jasad, roh, dan akal, di samping hidup secara bersendirian, berkeluarga, dan bermasyarakat yang berprinsipkan iman bersama ilmu dan hasilnya

Setiap kegiatan manusia dikaitkan dengan Allah yang Maha Esa dan adanya Hari Akhirat, tempat penghisaban dosa dan pahala yang tidak ada dalam ideologi ciptaan manusia. Keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat akan mempertahankan nilai integriti dan kelakuan manusia dengan istiqamah. Selain itu, mereka mendukung gagasan yang berkonsepkan perpaduan umat yang beriman bersama Islam tanpa paksaan, disertai oleh bukan Islam yang berkonsepkan kemanusiaan dan tidak ekstrem.

Islam berjaya mencipta sebuah tamadun baharu yang dinamakan Hadharah Islamiah, bukan Islam Hadhari yang berbeza maknanya. Tamadun ditegakkan bersama masyarakat madani mengikut proses tabii. Ia melibatkan generasi baharu dan lama yang baik dan kalangan bukan Islam yang berilmu dan bermoral kemanusiaan.

Ibn Khaldun RH mengumpamakan berlakunya proses pusingan perubahan dalam kerajaan seperti seorang manusia; bermula dengan kelahiran, remaja, dewasa, tua, dan berakhir dengan nyanyuk. Kemudian, muncul pula kerajaan yang lain.

Kelahiran negara bermula dengan mereka yang berjuang daripada generasi baharu dan sebahagian daripada generasi lama yang bertahan dengan prinsip dan konsep yang tidak terpengaruh dengan kezaliman dan penyelewengan, sama ada daripada penduduk luar bandar atau pinggir bandar. Sehinggakan, pembentukan negara berjaya ditegakkan dengan ketinggian semangat, ilmu dan moral.

Namun, apabila memakan masa yang lama, maka berlakulah kelekaan disebabkan kemewahan yang disebut oleh ungkapan berikut:

الترف زمانة الأمة.

“Kemewahan yang melekakan ialah tanda nyanyuk sesuatu umat.”

Maka, Allah SWT melakukan pusingan selepasnya untuk melakukan pembaharuan tamadun secara tabii sebagaimana pada peringkat awal dahulu. Kemunculan generasi baharu yang bersih bersama kumpulan asal yang bertahan, dengan kumpulan yang berpenyakit dibuang; semuanya mengikut proses madani secara tabii.

Kita menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga Perikatan Nasional (PN) mencapai kejayaan mengikut proses madani secara tabii. PN yang bertemakan ‘Bersih dan Stabil’ (BEST) melakukan islah dan tajdid dalam pemerintahan negara sehingga berjaya mendapat sokongan generasi baharu di luar bandar dan pinggir bandar yang tidak leka bersama golongan yang bertahan.

Tiba-tiba, muncul istilah madani luar tabii dan politik luar tabii. Malangnya, kerajaan ditubuhkan dengan mengumpulkan pecahan-pecahan mereka yang ditolak oleh rakyat bermadani.

Maka, mereka yang tidak tabii menubuhkan kerajaan atas nama kerajaan perpaduan (kerajaan tanpa pembangkang atau pembangkangnya kecil laksana nyamuk) yang di luar istilah politik tabii. Pembentukannya melibatkan proses madani di luar tabii yang telah dinyatakan oleh Ibn Khaldun. Mereka yang rosak kerana rasuah, salah laku, ekstrem, nepotisme dan kronisme telah dihimpunkan dalam satu pakatan, bersama golongan-golongan lain yang muncul, termasuk mereka yang ditolak oleh rakyat.

 

Maka, perjuangan kita belum selesai. Kita wajib mempertahankan pencapaian ini dengan nilai tambah mengisi kemenangan yang ada dan mencari dukungan yang lain untuk bersama kita dari segi bilangan kerusi yang mencukupi. Kita telah berjaya mendapat sokongan jentera kerajaan berserta generasi baharu dan lama yang berfaedah, tetapi dicelarukan oleh konsep politik dan madani di luar tabii.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa merupakan satu ‘exercise’ politik yang wajib dimanfaatkan untuk menambah jumlah kemenangan dan kekuatan kita, insya-Allah.

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 13 Rajab 1444 / 4 Februari 2023


[Bil: 8 / 2023]

Ulasan