PAS DUN Batu Buruk Tambah Cawangan Baharu

 


Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU – Sebuah lagi cawangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah ditubuhkan iaitu PAS Cawangan Padang Negara. 

Mesyuarat penubuhan bagi cawangan tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, semalam. 

“Penubuhan cawangan ini merupakan satu pencapaian yang seterusnya bagi PAS DUN Batu Buruk.

“Kita mensasarkan agar setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN ini mempunyai satu cawangan PAS,” kata Dr. Muhammad Khalil dalam ucapan perasmiannya. 


Tambah beliau lagi, DUN Batu Buruk mempunyai ahli PAS teramai dalam kawasan Kuala Terengganu. 

“Apabila kita bekerja dalam jemaah ini, kita dijanjikan dengan pahala yang sangat besar.

“Tambah-tambah lagi kerja yang kita buat ini demi meninggikan syiar Islam dan menegakkan amar makruf serta nahi munkar,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut kongsikan keadaan politik semasa dalam negara khususnya berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dengan penubuhan PAS Cawangan Padang Negara, DUN Batu Buruk kini mempunyai sebanyak 29 cawangan PAS.

Ulasan