PAS Terengganu Sasar Menang Semua Kerusi DUN

 


KUALA TERENGGANU – Parti Islam Semalaysia (PAS) bersama Perikatan Nasional (PN) menyasarkan kemenangan semua 32 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata sasaran itu dibuat berdasarkan pengalaman kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.

Katanya, isu-isu melibatkan PAS yang sengaja ditimbulkan sekarang tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti.

“Perkara berkaitan agihan kerusi yang melibatkan parti komponen PN akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti.

“Sebarang agihan kerusi diputuskan oleh pusat, bukan negeri,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa. Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri berkata demikian ketika Sidang Media Karnival Beautiful Terengganu di Dewan Ghurfah, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam.

Tambah Ariffin Deraman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, PAS dilihat bersedia seratus peratus menjelang PRN ini.

Di samping, semua jentera juga berada pada tahap yang baik dalam menggerakkan kerja-kerja parti.

Untuk rekod, pada PRU14 yang lepas, PAS telah berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu manakala UMNO pula sebanyak 10 kerusi.

Selain Terengganu, terdapat lima negeri lain yang belum mengadakan PRN iaitu Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Ulasan