Petisyen Pilihanraya Kemaman Dibatalkan

 


Oleh Suhaimi Taib

Kuala Terengganu: Mahkamah Pilihan Raya Terengganu  memerintahkan Petisyen Pilihan Raya Parlimen P. 040 Kemaman dibatalkan dengan kos berjumlah RM30,000.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree  Mohd Abbas ketika membuat keputusan itu memaklumkan bahawa beliau bersetuju dengan satu daripada empat bantahan awal yang dikemukakan Peguambela Responden, berkait dengan fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah piliharaya yang terkandung dalam Petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

Ini kerana katanya daripada tujuh program rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu termasuk Bantuan i-Belia, i-Siswa, Sumbangan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Asnaf, tidak mengandungi butiran rasuah atau sogokan.

Tambahnya ia juga tiada butiran berkenaan agen Responden, tiada maklumat penerima, tiada fakta yang menunjukkan penerima sebagai pengundi berdaftar, tiada butiran ucapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang boleh disifatkan menyumbang kepada perbuatan tersebut.

"Menurut Mahkamah, memandangkan dakwaan sogokan atau rasuah adalah bersifat "quasi-criminal” (separa jenayah) maka adalah penting bagi Pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar Responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya berdasarkan maklumat lengkap untuk menjawab dan membela diri dari pertuduhan tersebut," ujar beliau. 

Katanya, kecacatan Petisyen Pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan, tidak boleh dikompromikan untuk memastikan keadilan dalam perbicaraan. 

Justeru tambahnya, Petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan Pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan sogokon atau rasuah pilihan raya.

"Atas asas itu Mahkamah memutuskan bahawa Petisyen ini adalah cacat, defektif  dan tidak sah," jelasnya lagi.

Dengan itu katanya, mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengisytiharkan  pemilihan Responden selaku Ahli Parlimen P. 040 Kemaman adalah sah.

"Justeru Petisyen dibatalkan dengan kos berjumlah RM30,000 kepada Responden," tegasnya.

Bagaimana pun Pempetisyen mempunyai peluang dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan itu untuk merayu terus ke Mahkamah Persekutuan.

Ahli Parlimen Che Alias Abd Hamid, selaku Responden bagi Petisyen ini diwakili sekumpulan Peguambela  termasuk Saiffuddin Othman, Wan Rohimi  Wan Daud dan Mohd Nasir  Embong.

Manakala Pempetisyen diwakili peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman.

Sementara itu Mahkamah Pilihan Raya lain menolak empat alasan Bantahan Awal yang dikemukakan oleh Peguambela Responden melalui Notis Bantahan Awal bertarikh 24 Januari lalu dengan kos sebanyak RM20,000.

Hakim Datuk Hassan  Abdul Ghani  membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan hujahan-hujahan dari kedua-dua pihak pada 30 Januari lalu  dan melalui hujahan-hujahan bertulis yang difailkan selepas itu.

Justeru Petisyen Pilihan Raya Parlimen P. 037 Marang ditetapkan untuk perbicaraan penuh selama 21 hari bermula 6 Mac  hingga 21 Mac ini.

Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang, selaku Responden bagi Petisyen ini diwakili Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Wan Rohimi  Wan Daud, Saiffuddin Othman, Nik Bahrum Nik Abdullah dan Ahmad Lutfi Awang.

Manakala Pempetisyen pula diwakili peguamnya sebagai terkandung dalam Petisyen Pilihanraya sebelum ini.



Ulasan