Guru PASTI Merupakan Ejen Dakwah


 KUALA TERENGGANU  - Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan ejen dakwah yang memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata ia ekoran ancaman pemikiran yang kian berleluasa mutakhir ini.

Menurut beliau, guru-guru PASTI berperanan dalam membentuk jati diri Islam dalam kalangan para pelajar. 

"Ancaman akidah ini akan berlaku sepanjang masa dengan pelbagai ideologi dan fahaman yang menyesatkan.

"Ancaman pemikiran ini datang dengan pelbagai bentuk seperti penulisan, filem dan sebagainya," kata Dr. Muhammad Khalil dalam ucapannya.


Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berucap dalam satu Majlis Hi-Tea Muslimat Bersama Guru-Guru PASTI DUN Batu Buruk yang diadakan di Hotel Sumai baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, mereka bukan sahaja bertanggungjawab mendidik pelajar PASTI, malah berperanan dalam mendidik masyarakat untuk memahami Islam. 

"Sebagai seorang muslim, menjadi tanggungjawab kita semua untuk berdakwah dan memberi penerangan tentang Islam kepada masyarakat khususnya generasi muda ini," katanya lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Muslimat PAS DUN Batu Buruk, Napisah Muda dan Pengerusi Majlis Guru PASTI Kuala Terengganu, Kartini Bakar.

Ulasan