Pesta Kezaliman Sedang Melanda Negara

 


MARANG - Mutakhir ini, kezaliman demi kezaliman terjadi di Malaysia. Kezaliman dan penganiayaan sengaja dikenakan terhadap mereka yang tidak sehaluan seolah-olah tiada kesudahannya.

Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata. Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang sedang berlaku. Kezaliman adalah satu kemungkaran yang besar dan menjadi kewajipan kita untuk mencegah dan menyelamatkan negara daripada kemungkaran.

“Sekiranya kita leka dan tidak bertindak, maka bencana akan menimpa semua tidak kira sama ada mereka yang zalim atau pun mereka yang baik yang mendiamkan diri,” katanya ketika berucap di Ceramah Perdana Solidariti Menentang Kezaliman di ibu negara, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, berlakunya perkara ini adalah berpunca sepertimana yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud; "Akan berlaku tahun-tahun yang menggoda dan menipu manusia. Orang yang benar dianggap bohong. Pembohong dianggap benar. Orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pengkhianat dianggap amanah. Orang yang bebal mendabik dada bercakap perkara-perkara yang besar".

“Ini perkara yang berlaku dalam negara kita. Walaupun sudah berlaku masih ada jalan untuk kita membuat perubahan. Tidak lama lagi pilihan raya negeri akan diadakan. Kita ajak rakyat untuk mengundi Perikatan Nasional supaya memerintah kerajaan negeri-negeri ini.

“Insya-Allah kita akan buktikan apa yang kita nak buat. Kita tak gopoh dan kita sedar Allah SWT tidak mensia-siakan orang yang dizalimi," tambahnya lagi.

Beliau turut memetik hadis Nabi SAW yang berpesan: Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, doanya tiada dinding antara dia dengan Allah SWT.

“Ini bahayanya perbuatan menzalimi orang lain. Kita beri nasihat jangan bermudah-mudah untuk mengheret orang ke mahkamah macam mi segera sahaja. Sepatutnya mesti mengikut proses yang betul,” tegasnya.

Ulasan