Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Ramadhan dengan seupaya pakej sebagai bulan al Quran, bulan sedekah, bulan pengampunan, bulan jihad dan kemenangan Islam ini sangat menguji keimanan umat Islam. Ironinya bulan ini juga menjadi bulan membazir makanan, bahkan ada yang tanpa segan silu menganjurkan pesta pora maksiat, pembaziran masa atas nama letih dan rawat sedangkan bulan jihad ini penuh dengan rakaman sejarah pertembungan antara iman dan kufur. Perang Badar al kubra, operasi perang Tabuk, pembukaan Kota Makkah, perang ain Jalut, penawanan kembali Palestin serta puluhan siri kemenangan Islam yang lain berlaku dalam bulan al Quran ini.
Ramadhan dengan bahang musim panas namun di sana terselit banyak kelebihan dan terpancar pelbagai hikmahnya yang tersendiri. Antaranya merapatkan hubungan kekeluargaan, membudayakan solat berjemaah, meranum keinginan untuk mengislah diri, membumbung keinginan mebaca serta berusaha membaiki bacaan Al-Quran. Jika sebelum ini masyarakat akan mencari-cari di manakah masjid atau surau yang mempunyai imam hafiz, manakala masjid dan surau juga berlumba-lumba untuk mendapatkan khidmat imam hafiz sehingga permintaan imam hafiz menjadi sangat tinggi. Impaknya, ada imam hafiz didatangkan daripada Palestin, Mesir, Pakistan, India, Yaman, Selatan Thailand, Indonesia, Kemboja dan juga imam-imam hafiz tempatan.
Ada masjid yang sanggup membayar sepuluh hingga lima belas ribu kos untuk jemputan hafiz dalam bulan Ramadhan. Teringat penulis, di Musim PKP menjadi gurauan tentang tahap imam-imam di rumah masing-masing. Lelucon ini, bertebaran di alam siber tentang ketidakupayaan ketua keluarga membaca surah-surah panjang. Alangkah bahagianya jika solat terawih berjemaah di musim PKP dahulu diimamkan oleh suami atau putera-putera lelaki yang menghafaz Al-Quran.
Penulis mencadangkan supaya masyarakat Muslim negara ini menggerakkan kempen "SATU KELUARGA, SATU HAFIZ" dan kerajaan mestilah melakukan usaha terancang dan bersungguh untuk menjayakan kempen ini. Mewujudkan satu keluarga, satu hafiz juga akan menjadikan sesebuah keluarga itu membudayakan Al-Quran secara berterusan dan usaha membina keluarga sakinah akan mencapai matlamat yang disasarkan. Keluarga Sakinah akan melahirkan generasi yang berkualiti, menjauhi najis dadah, menjauhi gejala sosial serta kebobrokan yang lain.
Masyarakat perlu tahu mengapa sekolah tahfiz menjadi tarikan pesona kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak belajar agama. Menarik juga kerana sebahagian besar yang menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz mahu pun sekolah agama rakyat ialah kelompok kelas menengah Melayu yang berpendidikan. Mereka tidak naif sebagaimana sangkaan sebahagian masyarakat yang menyangka anak-anak yang belajar di tahfiz adalah pelajar tanpa potensi.
Euforia Islami dengan pengamalan agama di maahad tahfiz akan mengacuankan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia dan inilah yang dikehendaki oleh ibubapa dan penjaga. Kita seharusnya jujur melihat kegagalan pendidikan arus perdana negara ini. Kadar kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 10 tahun terakhir ini melebihi 503 000 orang, kadar penagihan dadah yang mencanak, gejala buta al Quran dan seribu satu fenomena kebejatan akhlak yang merupakan produk pendidikan arus perdana hari ini.
Impak daripada kebejatan sosial dan fenomena buta Al-Quran itulah maka ibubapa melihat kearah pendidikan alternatif, iaitu sekolah tahfiz. Sekolah tahfiz menjadi tarikan masyarakat dalam dua dekad terakhir ini, terutama usaha gigih para asatizah muda yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan Sub Continent. Kerajaan Kelantan sebagai contoh antara pemicu utama menggalakkan sekolah tahfiz integrasi sehingga melahirkan pendidikan gabung jalin antara sains dan Al-Quran. Idea Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ini akhirnya meletus fenomena tahfiz sains di seluruh negara.
Kesan yang besar daripada pelajar-pelajar pintar yang memasuki tahfiz ini sejak tiga dekad lalu maka kita menikmati ramai profesional yang menghafal al Quran,contohnya ribuan doktor perubatan yang juga merupakan penghafal al Quran. Siang hari sebagai ahli teknokrat, manakala malam ini menjadi imam solat. Kelompok ini juga akan menebarkan ilmu al Quran dilingkungan sosial masing-masing, mewujudkan pelbagai kelas al Quran termasuk secara maya. Masyarakat wajib difahamkan , belajar dan menghafal al Quran tidak semestinya menjadi pegawai-pegawai masjid semata-mata. Ada pelbagai ruang lain dalam kerjaya kepada penghafaz al Quran, mereka menjadi kelompok yang dipercayai bahkan satu masa nanti negara kita ini wajib kita impikan oleh seorang negarawan yang menghafal al Quran sebagai mana negara Mesir pernah memiliki Presiden kelima yang menghafal al Quran dan juga seorang profesional aras tinggi. Dr Mohamed Mursi, Ismail Haniyeh adalah contoh negarawan yang menghafal 30 juzuk al Quran.
Kita boleh belajar daripada negara Turki yang mampu membangunkan semula institusi sekolah tahfiz mereka sehingga berjaya memupuk kefahaman Islam yang semakin baik kepada generasi muda berbanding tiga dekad yang lalu. Pasca kejatuhan khilafah Uthmaniah, segala upaya dibuat untuk membenamkan pendidikan al Quran , membasmi al Quran dengan menutup sekolah Imam dan khatib namun Islam kembali menyinar di bumi Turkiye selaras dengan kebangkitan semangat mempelajari al Quran. Al-Quran adalah mukjizat dan percayalah ianya ubat mujarab untuk menyembuhkan negara kita daripada kebobrokan dan kebejatan sosial. Jom wujudkan seorang hafiz untuk satu keluarga!
(Penulis ialah Pengerusi Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur Besut, Pengerusi Kompleks Tahfiz An Nur Setiu)
Ulasan